Sunday, July 19, 2026

GiatMARA, YPM digerak bantu mangsa banjir di Sabah

MARA juga akan membantu anak-anak yang terjejas banjir terutamanya bantuan kewangan untuk membeli peralatan sekolah dan buku-buku yang rosak akibat banjir melalui YPM.

Mesti Baca

MAJLIS Amanah Rakyat (MARA) akan menggerakkan para pelatih GiatMARA dan sukarelawan Yayasan Pelajaran MARA (YPM) untuk membantu mangsa-mangsa banjir di Sabah

Pengerusi MARA, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkata, antara usaha yang diambil ialah membantu kerja-kerja pembaikan rumah kediaman mangsa khususnya kerja pendawaian.

“GiatMARA juga boleh membantu memperbaiki kenderaan dan peralatan elektrik yang rosak akibat banjir,” kata beliau menerusi kenyataan di media sosialnya hari ini.

Sebelum itu, Asyraf Wajdi mengadakan mesyuarat dengan Pengarah MARA Negeri Sabah, Dr Shahrizin Sarhadat dan Pengarah GiatMARA Sabah, Ts. Azizzudin A Aziz  setelah melawat mangsa-mangsa banjir di beberapa Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Daerah Putatan.

Beliau berkata, GiatMARA juga akan membantu menyegerakan kerja-kerja pembaikan rumah mahupun membina baharu di bawah Projek Perumahan Rakyat Sejahtera (PPRS) yang mendapat kelulusan Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW).

Sementara itu, beliau berkata, MARA juga akan menggerakkan sukarelawan dan sahabat YPM seluruh negeri Sabah untuk membantu gotong-royong pascabanjir kelak.

Selain itu, agensi itu juga akan membantu anak-anak yang terjejas banjir terutamanya bantuan kewangan untuk membeli peralatan sekolah dan buku-buku yang rosak akibat banjir melalui YPM.

“Mudah-mudahan penyelarasan bantuan segera ini dapatlah mengurangkan bebanan mangsa-mangsa musibah banjir di Sabah ini,” katanya. — Edisi 9

Terkini

Exco Johor: Enam kekal portfolio, empat lantikan baharu

SERAMAI 10 Ahli Majlis Mesyuarat (Exco) Kerajaan Negeri Johor bagi penggal 2026-2031 hari ini mengangkat sumpah jawatan masing-masing hari...

Lagi Artikel Berkaitan