28.9 C
Kuala Lumpur
Tuesday, March 19, 2024

Pemecatan Annuar, Tajuddin isyarat untuk ahli Parlimen UMNO?

Mesti Baca

Zulkiflee Bakar
Zulkiflee Bakar
Penulis Khas Edisi 9

TIADA apa-apa yang mengejutkan apabila Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman berkata, beliau tidak dimaklumkan mengenai pengguguran sebagai Pengarah Pilihan Raya UMNO dan digantikan dengan Timbalan Presiden parti itu, Datuk Seri Mohamad Hasan, semalam.

Sebelum inipun Tan Sri Annuar Musa hanya mengetahui beliau dipecat daripada jawatan Setiausaha Agung Barisan Nasional (BN) melalui media.

Walaupun apapun alasan yang diberikan oleh Presiden UMNO Datuk Seri Dr.Ahmad Zahid Hamid berhubung ‘penggantian’ Tajuddin dan ‘pemecatan’ Annuar, namun ia tidak akan mampu menutup spekulasi bahawa ia berkaitan tindak tanduk kedua-dua mereka yang dilihat tidak menyebelahi kepemimpinan parti.

Annuar dipecat pada Januari lalu selepas membangkitkan isu jajaran baharu berkaitan gerakan segelintir pemimpin UMNO yang mahu mewujudkan kerjasama dengan PKR dan DAP. Tajuddin pula dikaitkan dengan rakaman audio mirip beliau yang dikatakan direkod dalam mesyuarat Majlis Tertinggi (MT) pada 7 Julai lalu.

Dalam rakaman itu, suara mirip Tajuddin mendedahkan bahawa UMNO tidak bersedia berhadapan dengan pilihan raya umum jika ia diadakan. Tidak sampai 24 jam rakaman itu tersebar, Tajuddin ‘digugurkan’ daripada jawatan Pengarah Pilihan Raya UMNO.

Tindakan Ahmad Zahid itu ternyata mengundang perasaan tidak puas hati kepada Datuk Seri Nazri Aziz yang menyifatkan pemecatan Tajuddin  tidak wajar hanya kerana berbeza pandangan berhubung pendirian parti.

Ahli Parlimen Padang Rengas itu menyamakan tindakan Ahmad Zahid Hamidi dengan pemimpin negara yang sering bergolak, Republik Congo yang memecat penentangnya hanya kerana wujud perbezaan dalam isu politik dan parti.

“Ini masalah Zahid ni, semua orang dia nak pecat… Dia ini Presiden Republik Congo ke?” katanya kepada Agenda Daily.

Jelas Nazri, beliau tidak menolak akan menerima nasib sama dengan Tajuddin dipecat sekiranya memegang jawatan dalam parti hanya menyatakan pandangan berbeza dengan Presiden.

“Saya ini nasib tidak ada jawatan dalam parti, kalau tidak pun kena pecat. Takkan berbeza pendapat pun nak pecat, semua nak pecat… Tindakan ini tidak membantu dan menguatkan parti, sebagai Presiden kena lah terima semua pandangan bukan pandangan penyokong sahaja,” kata Nazri.

Bagaimanapun penulis lebih memikirkan apa yang akan berlaku kepada ahli-ahli Parlimen UMNO yang tidak menyokong keputusan MT menarik semula sokongan kepada Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Sememangnya tindakan mereka amat berisiko memandangkan ketegasan tersebut telah menggagalkan usaha segelintir pemimpin UMNO mahu menarik sokongan bukan sahaja kepada Muhyiddin tetapi juga Kerajaan PN.

Malah ada yang bertanya kepada penulis apa yang akan berlaku kepada mereka selepas ini memandangkan Ahmad Zahid adalah Pengerusi Barisan Nasional (BN) yang mempunyai kuasa menandatangani watikah calon dalam pilihan raya.

Adakah kesemua mereka tidak akan dicalonkan semula termasuk Ahli Parlimen Bera yang kini menjadi Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dan Ahli Parlimen Sembrong, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein yang dilantik sebagai Menteri Kanan Luar Negeri?

Khabarnya terdapat sekurang-kurangnya 31 Ahli Parlimen UMNO yang berada dalam kerajaan tidak bersetuju dengan keputusan MT. Ahmad Zahid sudah pasti tidak akan pecat mereka sekarang memandangkan ia akan mengurangkan kerusi UMNO di Parlimen.

Justeru orang melihat, apa yang dialami oleh Annuar dan Tajuddin sebagai ‘isyarat’ kepada ahli-ahli Parlimen UMNO bahawa mereka juga mungkin menerima nasib yang sama ‘tidak lama lagi’. Namun kalau itu berlaku sememangnya Ahmad Zahid akan ‘menyeret’ UMNO ke dalam ‘liang lahad’ politik.

Jika mahu mengambil kira soal tidak sehaluan atau bertentangan dengan kehendak parti rasanya Ahmad Zahid berada ‘di kedudukan terbaik’ untuk diadili apabila didakwa menghantar surat kepada Yang di-Pertuan Agong menyokong Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai Perdana Menteri. Begitu juga rakaman audio mirip suara Ahmad Zahid dan Anwar.

Walaupun sampai ke hari ini, Ahmad Zahid tidak menafikannya namun tiada ahli-ahli MT yang bersuara atau mendesak supaya Ahli Parlimen Bagan Datuk itu memberi penjelasan, mungkin mereka bimbang akan menerima nasib seperti Annuar dan Tajuddin atau ‘paling trajis’ tidak dipilih menjadi  calon dalam pilihan raya.

Sepatutnya pemimpin-pemimpin UMNO khususnya dalam MT tidak mengulangi apa yang berlaku sebelum PRU-14 dahulu bagaimana ada pemimpin disingkirkan daripada parti itu kerana meminta penjelasan daripada Presiden parti berhubung satu isu yang akhirnya menyebabkan parti tersebut hilang kuasa selepas 61 tahun memerintah.

Ketegasan ahli-ahli Parlimen UMNO dalam kerajaan mempertahankan pendirian mereka seharusnya dihargai oleh ahli-ahli parti itu.

Ia memandangkan mereka mempertahankan suara akar umbi yang mewakilkan pemimpin mereka di Perhimpunan Agung untuk menyokong usul bahawa parti tersebut akan menyokong Kerajaan PN sehingga pembubaran Parlimen.

Tetapi apa yang berlaku, MT UMNO membuat keputusan ‘separuh masak’ apabila memutuskan berada dalam Kerajaan PN tetapi menarik semula sokongan kepada Muhyiddin.

Dan sekarang ahli-ahli Parlimen tersebut berada dalam keadaan keliru apabila Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan berkata, mereka boleh menggunakan budi bicara jika ada pengundian di Parlimen tetapi mesti mengikut keputuan parti.

Begitulah UMNO sekarang, dalam keghairahan pemimpin-pemimpinnya ‘menyerang’ kerajaan, keadaan dalam parti itu semakin bercelaru. 

Terkini

Stoking kalimah Allah: KK Mart akan dipanggil bantu siasatan

POLIS akan memanggil pihak KK Supermart & Superstore Sdn Bhd (KK Super Mart) dan beberapa individu lain bagi membantu...

Lagi Artikel Berkaitan