32.8 C
Kuala Lumpur
Friday, April 19, 2024

MITI perlu hati-hati benarkan sektor ‘penting, signifikan’ beroperasi

Mesti Baca

Editor
Editor
Editor Edisi 9

MALAM tadi Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah yakin kes baharu Covid-19 akan mulai stabil dalam tempoh seminggu atau dua minggu lalu.

Walaupun nampak tempoh tak lama lagi tetapi mereka yang sudah ‘berkurung’ dalam rumah sejak 3 Julai lalu khususnya di Selangor, ia sudah pasti, ‘menyeksakan’, apatah lagi semalam kes di negeri itu mencecah 4,277 kes menyumbang kepada 9,353 kes di seluruh negara.

Kuala Lumpur pula 1,398 kes manakala Melaka secara tiba-tiba melonjak kepada 835 kes.

Bagi penduduk Selangor apabila melihat angka itu mereka tidak menaruh harapan bahawa PKPD yang akan berakhir pada 16 Julai ini akan ditamatkan malah kemungkinan untuk disambung lagi memang tinggi.

Apa yang berlaku di Selangor atau di Lembah Klang ternyata meresahkan rakyat negara ini. Walaupun di negeri-negeri lain angka kes baru sudah berada di bawah 500 kes malah ada di bawah 100 tetapi sedikit sebanyak ia akan memberi kesan kepada mereka.

Malah bagi ahli-ahli politik, mereka menjadikan ia modal untuk menjaja kerajaan gagal, apatah lagi pada Rabu lalu Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) mengumumkan banyak sektor ekonomi akan dibuka di Selangor walaupun negeri itu berada dalam keadaan PKPD.

Kata MITI, keputusan itu dipersetujui dalam mesyuarat Kabinet yang dipengerusikan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin dan dibincangkan bersama antara kementerian itu, Menteri Kewangan dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi).

Sektor yang dibenarkan adalah sektor elektrik dan elektronik serta rangkaiannya, sektor aeroangkasa (penyelenggaran, pembaikan dan pemulihan), sektor mesin dan peralatan khusus kepada produk kesihatan dan makanan dan syarikat pembuatan makanan dan minuman utama.

Penulis tiada masalah soal kilang makanan dan minuman itu tetapi kenapa kilang-kilang lain turut dibuka? Alasan MITI ialah keputusan itu dibuat berikutan peranan sektor-sektor ini ‘yang penting dan signifikan’ dalam menyokong pengeluaran produk-produk di dalam rantaian bekalan global serta pengeluaran kritikal bagi sektor kesihatan dan makanan dan minuman di dalam negara.

Tetapi jangan lupa, ketika pengumuman itu dibuat (7 Julai) kes di Selangor ialah 3,119, pada  8 Julai ia meningkat 4,152 kes manakala pada 9 Julai (4,400 kes) manakala 10 Julai (4,277 kes).

Walaupun penulis memahami mungkin ada sebab tertentu kenapa kilang-kilang tersebut terpaksa dibuka tetapi bagi rakyat yang sudah berkurung berbulan-bulan dalam rumah, mereka berasa marah dan kecewa dengan pembukaan sektor tersebut.

Kenapa tidak boleh bertahan sekejap sehingga kes turun? Kenapa ketika PKPD ia dibenarkan beroperasi semula? Kenapa pada awal PKPD kilang-kilang ‘yang dianggap penting dan signifikan’ itu diarah tutup?

Rakyat bosan dan marah manakala bagi ahli-ahli politik, ia bagaikan ‘peluru’ yang diberikan percuma apabila menuduh kerajaan gagal menangani situasi Covid-19 dengan serius sehingga mengakibatkan ramai rakyat menjadi mangsa.

Penulis bersetuju sepatutnya sektor perkilangan dan industri ini dihentikan sementara operasi ketika PKPD tetapi menuduh kerajaan tidak serius menangani Covid-19 agak melampau.

Apatah lagi masalah Covid-19 kini hanya di Lembah Klang. Jadi janganlah ‘butakan mata’ untuk mengakui usaha kerajaan di negeri-negeri lain. Kalaupun tak suka sekarang, janganlah cuba bermain sentimen rakyat seolah-olah kerajaan tidak pedulikan isu Covid-19.

Sebab itulah penulis berharap kerajaan khususnya MITI harus lebih berhati-hati dalam memberi kebenaran atau mencadangkan pembukaan sektor ekonomi di kawasan PKPD.

Ia seperti mana nasihat Dr.Noor Hisham malam tadi, beliau berkata,  mengambil pengalaman dan iktibar daripada kesan gelombang kedua Covid-19 sebelum ini, negara perlu lebih berhati-hati dan tidak tergesa-gesa untuk membuka beberapa sektor yang boleh mencetuskan lagi lonjakan kes baharu.

Beliau berkata pematuhan yang berterusan oleh semua pihak serta penguatkuasaan prosedur operasi standard (SOP) di lapangan seperti sektor perkilangan, perlu dipertingkatkan dalam usaha mengawal lebih banyak jangkitan khususnya melibatkan penularan di tempat kerja.

Oleh itu, tolonglah MITI, tidak kiralah sepenting manapun sektor perkilangan itu, kita kini berada dalam peperangan melawan Covid-19. Tak kanlah kilang-kilang yang tidak melibatkan soal makan, minum dan peralatan perubatan tidak boleh ditutup.

Kalau tidak boleh ditutup jelaslah secara terperinci, kenapa? Janganlah sekadar membuat pengumuman yang boleh mewujudkan persepsi kepada kerajaan sehingga kerajaan dituduh lebih pentingkan sektor perkilangan atau ekonomi berbanding nyawa rakyat.

Kenyataan ini sudah pasti sama sekali tidak betul tetapi bagi mereka yang tidak menyukai kerajaan, ia modal untuk mereka memutarbelitkan fakta demi kepentingan politik mereka.

Penulis percaya kerajaan sudah bertungkus lumus dalam menangani Covid-19 tetapi disebabkan pengumuman pembukaan sektor ekonomi tertentu, ia menimbulkan kemarahan rakyat.

Bagaimanapun penulis tetap percaya ada sektor yang dibenarkan beroperasi semasa Pelan Pemulihan Negara Fasa 1 negara masih boleh ditutup sementara. Tolonglah, fikirkan keresahan dan kebosanan rakyat di kawasan PKPD khususnya di Selangor.

Tak kanlah kerana kilang ‘yang dianggap penting dan signifikan’ ini, rakyat terpaksa berkorban untuk mereka? Adakah kilang-kilang yang beroperasi ketika PKPD ini  memberi apa-apa sumbangan bagi mengurangkan beban rakyat? 

Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amiruddin Shari pun sudah minta supaya hanya sektor ekonom yang benar-benar perlu sahaja dibenarkan dibuka.

Penulis faham kes harian tinggi disebabkan pelaksanaan swap test ataun saringan secara besar-besaran khususnya di sektor perkilangan tetapi cuba fikirkan, kalaulah kilang-kilang itu tidak beroperasi adakah Selangor akan sampai ke tahap terpaksa dikenakan PKPD?

Kerajaan Negeri Selangor pun tidak boleh lepas tangan, mereka juga harus bertanggungjawab atas kenaikan kes ini sebab sebelum ini ‘pakar-pakar mereka’ begitu bijak mengkritik kerajaan pusat.  Sekarang di mana-mana pakar tersebut? 

Apapun penulis percaya jika MITI bertegas dalam soal memberi kebenaran beroperasi bagi sektor ekonomi dan mengenepikan sementara tafsiran ‘sektor itu penting dan signifikan’, kes-kes Covid-19 mampu turun di Selangor dengan lebih cepat daripada dijangkakan.

Terkini

Malaysia kecewa kuasa veto diguna halang Palestin anggotai PBB

MALAYSIA menyuarakan rasa bimbang dengan penggunaan veto di Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNSC) untuk menghalang kemasukan Palestin sebagai...

Lagi Artikel Berkaitan