27.9 C
Kuala Lumpur
Friday, March 29, 2024

Warga TNB kumpul RM1.57 juta bantu golongan terjejas

Mesti Baca

CYBERJAYA – Lebih RM1.57 juta berjaya dikumpul hasil sumbangan warga kerja Tenaga Nasional Berhad (TNB) menerusi potongan gaji kepada Tabung Warga TNB Prihatin (WTP) sejak bulan lepas.

Pengerusinya Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata daripada jumlah itu lebih RM1.137 juta telah diagihkan kepada kira-kira 1,900 penerima  di semenanjung Malaysia.

“Di peringkat syarikat, TNB menerusi pengurusan tertinggi dan persatuan dalaman telah menubuhkan WTP bagi mengumpulkan sumbangan sukarela warga kerja melalui potongan gaji bulanan pada Jun dan Julai.

“Ia diagihkan kepada fakir miskin dan asnaf, ibu tunggal, Orang Kurang Upaya, warga emas serta mereka yang kehilangan pekerjaan dan sumber pendapatan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

MAHDZIR KHALID

Beliau berkata awal tahun ini juga TNB menghulur bantuan kepada lebih 10,000 penerima daripada golongan B40 menerusi peruntukan hampir RM9.5 juta bagi membiayai pembinaan semula dan membaiki rumah, mengagih bekalan makanan dan keperluan asas serta wang saku.

Mahdzir berkata terdapat anggota kerja TNB di beberapa negeri turut menjalankan inisiatif sendiri dengan menghulurkan bantuan kepada masyarakat di kejiranan berikutan pelaksanaan kawalan pergerakan yang berpanjangan.

Antaranya, anggota kerja TNB Kluang, Johor menyalurkan sumbangan barangan keperluan menerusi projek Gerobok Rezeki Staf TNB Kluang, manakala inisiatif bank makanan dijalankan TNB Kemaman, Terengganu menerusi kutipan ikhlas dalam kalangan anggota kerja serta sumbangan orang awam.

Anggota kerja TNB di anak syarikatnya, Kapar Energy Ventures Sdn Bhd (KEV) yang bertugas di Stesen Janaelektrik Sultan Salahuddin Abdul Aziz di Kapar, Klang, Selangor, juga mengambil inisiatif bank makanan yang diwujudkan di beberapa kedai terpilih di sekitar kawasan Kampung Tok Muda, Serdang dan Pekan Kapar bagi meringankan beban penduduk kejiranan.

“Usaha murni warga kerja kami ini mencerminkan pengertian mendalam aspek nilai keprihatinan syarikat dan menyokong program-program tanggung jawab syarikat TNB bagi membantu komuniti sekitar.

“Semangat berkongsi rezeki ini juga diperlukan dari semua pihak dalam suasana wabak virus COVID-19 yang masih belum reda kerana semakin ramai yang memerlukan bantuan akibat pandemik yang berterusan ini,” kata Mahdzir. – Edisi 9

Terkini

Imigresen serbu pusat hiburan sediakan ‘call girl’, 63 ditahan

JABATAN Imigresen Johor menyerbu sebuah pusat hiburan yang disyaki menyediakan gadis panggilan (call girl) di Taman Mount Austin, Johor...

Lagi Artikel Berkaitan