23.8 C
Kuala Lumpur
Saturday, January 18, 2025

Tiada sebarang keputusan kenaikan tarif elektrik – Fadillah

Mesti Baca

TIMBALAN Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof menjelaskan tiada sebarang keputusan kenaikan tarif elektrik di Semenanjung yang telah dibuat oleh kerajaan sehingga kini.

Beliau yang juga Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA) berkata, seperti ditegaskan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, sebarang kenaikan yang membebankan rakyat adalah tidak dibenarkan sama sekali.

Fadillah berkata, seperti kenyataan media 20 Disember lalu, PETRA dan Suruhanjaya Tenaga (ST) masih lagi dalam proses memuktamadkan jadual tarif elektrik baharu yang dijangka untuk dilaksanakan bermula Julai tahun depan.

“Oleh yang demikian, ingin ditegaskan bahawa PETRA tidak dirujuk serta dimaklumkan oleh TNB terkait pengumuman mengenai kenaikan tarif elektrik di Semenanjung tempoh hari,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Berkait dengan perkara tersebut, beliau menjelaskan, semakan terhadap tarif asas elektrik dilaksana disebabkan terdapatnya keperluan untuk meneliti semula harga bahan api, terutamanya arang batu dan gas.

Katanya, dalam tempoh kawal selia ketiga (Regulatory Period 3 – RP3) (2022 – 2024), unjuran harga arang batu ditetapkan pada kadar AS$79 setiap matrik tan dan harga gas ditetapkan melalui harga dua peringkat (two tier pricing) menggunakan formula Reference Market Price (RMP).

Peringkat pertama bagi isi padu gas sehingga 800 juta kaki padu sehari (mmscfd), harga lantai ditetapkan pada kadar RM24/MMBtu dan harga siling jualan gas ditetapkan pada kadar RM30/MMBtu.

Manakala, harga purata bagi penggunaan gas melebihi 800 mmscfd diunjurkan pada kadar RM33/MMBtu.

Namun, pasca COVID-19 dan krisis tenaga global, harga bahan api telah meningkat secara mendadak yang mana harga arang batu bagi tempoh kawal selia keempat (RP4) (2025 – 2027) diunjurkan pada kadar 97 USD/matrik tan dan penggunaan gas bulanan sehingga 800 juta kaki padu sehari (mmscfd) akan dikenakan harga lantai RM24/MMBtu dan harga siling RM35/MMBtu.

Advertisements

Sementara harga purata bagi penggunaan gas melebihi 800 mmscfd diunjurkan pada kadar RM46/MMBtu.

“Bagi pengguna kategori domestik dan perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS), kerajaan terus komited untuk melindungi mereka supaya tarif elektrik yang dikenakan adalah kompetitif dan mampu dibayar.

“Selain itu, pemberian subsidi elektrik secara bersasar yang dilaksanakan oleh kerajaan akan diteruskan.

“Ini akan memastikan 85 peratus pengguna domestik dengan penggunaan elektrik bulanan 1,500 kWj dan ke bawah tidak akan terkesan,”katanya.

Sementara itu, bagi pengguna kategori komersial dan industri yang menggunakan elektrik yang banyak serta mencatatkan keuntungan yang tinggi perlu membayar kos elektrik mereka pada kadar yang sebenar.

Namun, pengguna kategori ini katanya, mempunyai alternatif di mana Kerajaan menggalakkan mereka memasang solar dan bateri penyimpanan tenaga di premis masing-masing serta mempraktikkan inisiatif kecekapan tenaga.

Ini termasuk melaksanakan audit tenaga secara kolaborasi dengan syarikat perkhidmatan tenaga (ESCO) dan melaksanakan program inisiatif kecekapan tenaga bagi mengenal pasti potensi penjimatan tenaga elektrik di pepasangan dan premis mereka.

“Kerajaan memberi jaminan bahawa penetapan tarif elektrik di Semenanjung akan mengambil kira semua aspek termasuk kebajikan dan kesejahteraan rakyat.

“Dalam hal ini, sebarang pengumuman berhubung penetapan tarif elektrik di Semenanjung akan dikeluarkan oleh kerajaan,”katanya. – Edisi 9

Advertisements

Terkini

Lima beregu negara melangkah bergaya ke separuh akhir

LIMA beregu negara masing-masing dua beregu lelaki, dua beregu campuran dan satu beregu wanita melangkah bergaya ke separuh akhir...

Lagi Artikel Berkaitan