PERDANA Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan bekas Perdana Menteri Thailand, Thaksin Shinawatra bertemu semalam bagi membincang beberapa isu kritikal serantau.
Antara isu yang dibincangkan dengan Thaksin, yang dilantik sebagai penasihat tidak rasmi kepada Pengerusi ASEAN termasuk usaha melonjak ekonomi, perkembangan teknologi baharu, merintis usaha damai di Selatan Thailand dan merungkai krisis di Myanmar.
Anwar menerusi media sosialnya hari ini berkata, kepakaran dan jaringan perhubungan meluas yang dimiliki Thaksin di rantau ini, membolehkan beliau memainkan peranan dan membuka peluang-peluang penting buat Malaysia dan ASEAN bagi berdepan cabaran-cabaran ini dengan penuh yakin dan berkesan.
“Saya telah bertemu sahabat baik yang juga mantan Perdana Menteri Thailand, Dr Thaksin Shinawatra semalam dan mengadakan perbincangan panjang lebar terkait beberapa perkara penting, termasuk peranan beliau selaku penasihat tidak rasmi kepada Pengerusi ASEAN.
“Saya dan Thaksin turut bertukar pandangan terkait usaha memperkukuh hubungan persahabatan Malaysia-Thailand dan selaras visi dan persefahaman seperti mana yang saya kongsikan bersama-sama PM (Perdana Menteri Thailand) Paetongtarn Shinawatra,” katanya.
Anwar berkata, beliau dan Thaksin berkongsi kepercayaan yang sama sejak puluhan tahun lalu, bahawa Malaysia dan Thailand berupaya mencipta pelbagai kejayaan bersama untuk kedua-dua negara dan rantau ini.
“Insya-Allah, saya dan Thaksin komited untuk merealisasikan hasrat ini,” katanya.
Untuk rekod, Thaksin yang juga pengasas parti Thai Rak Thai (TRT) menjadi Perdana Menteri Thailand ke-23 pada 2001 hingga 2006.
Selain berkecimpung dalam arena politik, Thaksin juga terkenal sebagai seorang konglomerat dalam bidang teknologi maklumat dan telekomunikasi menerusi syarikatnya, Shin Corporation. – Edisi 9