HOSPITAL Pakar Semenyih (HPS) yang bakal dibangunkan di atas tanah seluas kira-kira satu hektar di Semenyih, Selangor bakal mencatatkan sejarah sebagai hospital pertama di negara ini yang berteraskan prinsip patuh syariah dan berkonsepkan wakaf.
HPS dibangunkan oleh Yayasan Waqaf Malaysia (YWM) dengan kerjasama Highfield Healthcare Sdn. Bhd. yang majlis majlis pecah tanah projek disempurnakan oleh Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar.
Menurut Fadillah, hospital tersebut bakal menjadi pemangkin kepada inisiatif nasional dalam memperkasa sektor kesihatan bercirikan wakaf.
Beliau berkata, hal ini selaras dengan gagasan Malaysia MADANI yang menitikberatkan kesejahteraan rakyat, nilai ihsan dan pembangunan seimbang fizikal serta rohani.
“Hospital ini adalah bukti nyata bagaimana instrumen wakaf boleh digerakkan dalam sektor kesihatan.
“Ia memberi manfaat besar kepada masyarakat dengan menyediakan perkhidmatan berkualiti, di samping menjana hasil yang mampan untuk institusi wakaf negeri.
“Model seperti ini sebenarnya boleh diperluas ke seluruh negara – bukan sahaja dalam sektor kesihatan, malah dalam pendidikan, perumahan, dan pembangunan sosial,” katanya dalam majlis tersebut.
Fadillah yang juga Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA) berkata, HPS bakal menjadi pintu gerbang perubatan di wilayah selatan dengan memberikan perkhidmatan berkualiti tinggi serta meningkatkan aksesibiliti kepada sebahagian besar penduduk di negeri-negeri selatan Semenanjung.
“Harapan saya supaya pihak pemaju akan turut mengambil inisiatif menerapkan elemen-elemen teknologi hijau dalam pembangunan HPS selaras dengan Pelan Hala tuju Peralihan Tenaga Negara (NETR); ke arah mencapai sasaran Net-Zero Greenhouse Gas (GHG) Emmisions menjelang tahun 2050,” katanya.
Sementara itu, Mohd Na’im berkata, HPS akan dilengkapi pelbagai kemudahan mesra ibadah termasuk ruang solat, panduan ibadah pesakit, kemudahan tayamum, sokongan kerohanian serta al-Quran digital di setiap wad.
“Hospital ini menawarkan rawatan yang bukan sahaja menumpu kepada kesihatan fizikal bahkan kesejahteraan rohani, sejajar dengan maqasid syariah khususnya dalam aspek penjagaan nyawa (hifz al-nafs),” katanya.
Menurut beliau lagi, projek berkenaan selari dengan aspirasi Pelan Induk Wakaf Nasional (PIWN) yang menyasarkan sumbangan wakaf kepada sektor kewangan sosial Islam sebanyak 10 peratus menjelang 2030.
YWM turut merancang memperluaskan model tersebut ke seluruh negara bagi membangunkan rangkaian hospital pakar, pusat dialisis dan pusat rehabilitasi berasaskan wakaf.
Langkah itu dilihat dapat memperkukuh ekosistem wakaf, meningkatkan akses kepada perkhidmatan kesihatan berkualiti dan akhirnya menyumbang kepada kesejahteraan rakyat. – Edisi 9

