TIMBALAN Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof menyambut baik Belanjawan MADANI 2026 yang menekankan keseimbangan antara kemajuan ekonomi dan kemampanan sumber tenaga serta air demi kesejahteraan rakyat.
Beliau yang juga Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA) berkata, belanjawan kali ini menzahirkan keprihatinan kerajaan terhadap keperluan rakyat dengan memastikan pembangunan yang inklusif dan berimpak tinggi.
“Belanjawan MADANI 2026 adalah Belanjawan Rakyat, digerakkan oleh suara dan aspirasi rakyat ke arah memastikan setiap lapisan masyarakat merasai manfaat pembangunan,” katanya mengulas Belanjawan MADANI 2026 yang dibentang Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim di Dewan Rakyat hari ini.
Menurut Fadillah, PETRA menerima peruntukan sebanyak RM5.19 bilion bagi sektor tenaga dan air, merangkumi RM392.74 juta untuk perbelanjaan mengurus dan RM4.8 bilion untuk perbelanjaan pembangunan.
Manakala sektor air pula, kementerian itu memberi tumpuan kepada pemuliharaan sungai dan mitigasi banjir melalui Program Pemuliharaan Sungai dan Sistem Saliran dengan peruntukan RM2.2 bilion bagi 43 projek tebatan banjir dan 12 projek baharu.
Selain itu, beliau berkata, program MASMA (Memperbaiki, Mengindah, Membersih dan Merawat Air Sungai dan Infrastruktur) turut diperuntukkan RM292 juta bagi memperkukuh pengurusan air negara secara mampan.
“Dalam usaha mencapai sasaran Pelepasan Karbon Sifar Bersih (Net Zero Carbon) menjelang 2050, PETRA akan melaksanakan beberapa inisiatif tenaga hijau termasuk:
“Program Bijak Tenaga MADANI (NEEAP 2.0) dengan peruntukan RM20 juta bagi meningkatkan kecekapan tenaga di sektor domestik, industri dan komersial,”katanya.
Program Pembangunan Tenaga Nuklear (MyPOWER) pula, sebanyak RM28.6 juta bagi memperkukuh kesiapsiagaan infrastruktur tenaga nuklear mengikut piawaian IAEA.
Sementara projek Pengukuhan Bekalan Elektrik Sabah dan Labuan termasuk Southern Link (TPSL) bernilai RM1.9 bilion bagi memperkukuh grid penghantaran elektrik.
Dalam pada itu, Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara (NETR) menetapkan sasaran 70 peratus kapasiti penjanaan elektrik daripada sumber tenaga boleh baharu (TBB) menjelang 2050, disokong oleh Dana Peralihan Tenaga Negara RM150 juta.
Selain itu, projek Solar Berskala Besar (LSS 6) akan dilaksanakan dengan kapasiti hampir 2 gigawatt melibatkan pelaburan swasta berjumlah RM6 bilion.
Fadillah juga gembira apabila Sabah dan Sarawak turut menerima peruntukan tertinggi dalam sejarah iaitu sebanyak RM6.9 bilion bagi Sabah dan RM6 bilion bagi Sarawak, selain Pemberian Khas MA63 sebanyak RM600 juta bagi memperkukuh pembangunan tenaga, air, jalan raya dan digitalisasi.
“Belanjawan MADANI 2026 mencerminkan iltizam kerajaan membina ekonomi mampan, rakyat berdaya tahan dan negara makmur. PETRA kekal komited memperkukuh sektor tenaga dan air secara berhemah, mampan dan berimpak tinggi,” jelas Fadillah. – Edisi 9

