SEMBILAN aktivis flotila Malaysia yang ditahan secara tidak sah oleh rejim Zionis Israel ketika menyertai misi kemanusiaan Freedom Flotilla Coalition (FFC) dan Thousan Madleens to Gaza (TMTG) telah dibebaskan.
Perkara itu dimaklumkan oleh Humanitarian Care Malaysia (MyCARE) yang menerima pengesahan daripada Wisma Putra hari ini.
Ketua Pegawai Eksekutif MyCARE, Kamarul Zaman Shaharul Anwar berkata, kesemua mereka telah diterbangkan ke Istanbul dan tiba di Istanbul kira-kira pukul 8 malam ini waktu Malaysia.
“Pihak MyCARE telah menghantar wakil ke Istanbul untuk menyambut kepulangan sembilan orang aktivis misi FFC. Kesemua aktivis dijangka pulang ke Malaysia pada Ahad ini,” katanya dalam satu kenyataan sebentar tadi.
Sembilan aktivis flotila terbabit ialah Prof Emeritus Dr Mohd Alauddin Mohd Ali, Dr Fauziah Mohd Hassan, Dr Maziah Mohammad, Dr Hafiz Sulaiman dan Dr Ili Syakira Mohd Suhaimi.
Mereka yang lain ialah Dr Mohd Afandi Salleh, Dr Noorhasyimah Ismail, Norsham Abu Bakar dan wartawan Astro Awani, Syafik Shukri Abdul Jalil.
Sebelum ini, kesembilan aktivis flotilla itu dilapor dibawa keluar dari Israel oleh kerajaan Turkiye bersama aktivis dari 21 negara lain menerusi tiga penerbangan.
Selain aktivis FFC dan TMTG, kerajaan Turkiye turut membawa keluar enam aktivis dari misi Global Sumud Flotilla (GSF) sebelum ini, masing-masing tiga dari Norway, Maghribi (dua) dan seorang dari Sepanyol.
Kamarul Zaman berkata, kesemua sembilan aktivis Malaysia dilapor dalam keadaan sihat walaupun ada dakwaan sebelum ini mereka dikasari ketika berada dalam tahanan Zionis tersebut. – Edisi 9

