Sunday, June 14, 2026

Anwar kecam tindakan Zionis Israel pintas kapal FFC, TMTG

Beliau menuntut agar kesemua aktivis dan sukarelawan Malaysia itu dibebaskan dengan segera, diberikan perlindungan sewajarnya serta tidak diapa-apakan sepanjang tempoh tahanan.

Mesti Baca

DATUK Seri Anwar Ibrahim mengecam tindakan tentera rejim Zionis Israel yang memintas dua kapal yang membawa delegasi misi kemanusiaan ke Gaza, termasuk rakyat Malaysia di perairan antarabangsa hari ini.

Perdana Menteri berkata, tindakan Zionis Israel yang memintas kapal Freedom Flotilla Coalition (FFC) dan Thousand Madleens To Gaza (TMTG) adalah tindakan provokatif dan melanggar undang-undang antarabangsa.

“Saya mengecam sekeras-kerasnya tindakan provokatif dan melanggar undang-undang antarabangsa ini.

“Tindakan menahan kapal kemanusiaan yang membawa bantuan untuk rakyat Gaza adalah tidak berperikemanusiaan dan mencabuli prinsip asas hak asasi manusia serta maruah kemanusiaan sejagat,” kata beliau menerusi media sosialnya hari ini.

Kapal FFC dan TMTG yang turut membawa sembilan orang rakyat Malaysia dipintas oleh tentera rejim Zionis itu di perairan antarabangsa di Laut Mediterranean kira-kira pukul 10.50 pagi waktu Malaysia.

Anwar berkata, beliau menuntut agar kesemua aktivis dan sukarelawan Malaysia itu dibebaskan dengan segera, diberikan perlindungan sewajarnya serta tidak diapa-apakan sepanjang tempoh tahanan.

Tegas beliau, kerajaan Madani akan berusaha sedaya upaya melindungi setiap nyawa rakyat Malaysia yang terlibat dalam misi kemanusiaan tersebut.

Beliau akan berhubung dengan negara-negara rakan dan pertubuhan antarabangsa bagi memudah cara pembebasan mereka sesegera mungkin.

Sebelum ini 23 rakyat Malaysia yang menyertai misi kemanusiaan dengan konvoi Global Sumud Flotilla (GSF) turut ditahan dan dipenjarakan oleh tentera rejim Zionis.

Bagaimanapun atas bantuan kerajaan Turkiye, mereka berjaya dibebaskan dan diterbangkan pulang melalui Istanbul serta tiba di tanah air malam tadi.

Kesemua mereka dilapor dalam keadaan sihat dan masih bersemangat untuk terus berjuang memecah sekatan terhadap rakyat Palestin di Gaza. – Edisi 9

Terkini

Pemimpin korporat perlu kuasai AI, elak ketinggalan

PEMIMPIN korporat di Malaysia perlu segera menguasai dan memanfaatkan kecerdasan buatan (AI) dalam operasi harian organisasi bagi memastikan mereka...

Lagi Artikel Berkaitan