Tuesday, July 21, 2026

PETRA intervensi RM1 juta atasi isu bekalan air di UMS

Pelaksanaan intervensi ini dijangka memberi manfaat secara langsung kepada lebih 3,000 pelajar, terutamanya di Kolej Kediaman Tun Mustapha dan Kolej Kediaman Tun Fuad...

Mesti Baca

KERAJAAN Persekutuan melalui Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA) komited membantu Universiti Malaysia Sabah (UMS) dalam usaha untuk mengurangkan gangguan bekalan air melalui pelan intervensi jangka pendek melibatkan kos RM1 juta. 

Komitmen ini diumumkan Timbalan Perdana Menteri II merangkap Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air, Datuk Seri Fadillah hari ini.

Beliau berkata, pelan intervensi itu akan dilaksanakan melalui kerjasama antara Jabatan Bekalan Air (JBA), PETRA dan UMS. 

“Pelaksanaan intervensi ini dijangka memberi manfaat secara langsung kepada lebih 3,000 pelajar, terutamanya di Kolej Kediaman Tun Mustapha dan Kolej Kediaman Tun Fuad yang sering terjejas akibat gangguan bekalan air,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, tindakan intervensi yang akan dilaksanakan itu termasuk membina saluran agihan khusus bagi menyambungkan sumber air bawah tanah yang telah dibangunkan oleh UMS.

Turut dilaksanakan, penyediaan tangki air bawah tanah dengan kapasiti pertambahan sebanyak 0.13 juta liter sebagai usaha menambah bekalan air dan pemasangan kawalan injap automatik (automated modulating valve) sebagai langkah menstabilkan aras air dalam tangki servis UMS.

“Seterusnya, bagi memastikan tekanan air mencukupi ke kawasan kediaman pelajar, JBA akan menyediakan pam penggalak (in-line booster pump) dari tangki servis ke Kolej Kediaman Tun Mustapha dan Kolej Kediaman Tun Fuad dengan menggunakan saluran by-pass sedia ada yang telah dibina oleh UMS,” katanya.

Fadillah berkata, kerja-kerja intervensi tersebut dijangka mengambil masa satu bulan dan boleh menyumbang kepada penambahbaikan operasi sistem bekalan air di UMS.

“Kerajaan Persekutuan merakamkan penghargaan kepada Kerajaan Negeri Sabah, Kementerian Pengajian Tinggi (KPT), pengurusan UMS, Jabatan Bekalan Air PETRA, Jabatan Air Negeri Sabah (JANS) serta agensi-agensi teknikal yang telah memberi kerjasama dalam melaksanakan intervensi ini.

“Kerajaan Persekutuan komited dalam memastikan kebajikan pelajar sentiasa menjadi keutamaan, sejajar dengan konsep Malaysia MADANI yang menekankan kemampanan, kesejahteraan dan keprihatinan terhadap keperluan rakyat,” katanya. — Edisi 9

Terkini

Hormati perjanjian pembentukan Kerajaan Perpaduan sehingga PRU-16

SEMUA pihak diminta agar menghormati perjanjian pembentukan Kerajaan Perpaduan peringkat Persekutuan antara Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH)...

Lagi Artikel Berkaitan