Tuesday, July 21, 2026

UMS dan Rehabcare bakal bangun alat mobiliti inovatif

Menghasilkan alat mobiliti berasaskan sistem pneumatik berkos rendah bagi membantu pesakit amputasi anggota bawah menjalani fasa pemulihan penting sebelum menerima prostesis kekal.

Mesti Baca

Editor Edisi 9
Editor Edisi 9
Editor Edisi 9

SEBUAH syarikat tempatan yang membekalkan peralatan pemulihan, Rehabcare Enterprise menjalin kerjasama dengan Universiti Malaysia Sabah (UMS) bagi membangunkan alat bantuan mobiliti inovatif dan mampu milik untuk pesakit amputasi anggota bawah.

Kerjasama tersebut dimeterai melalui Memorandum Perjanjian (MoA) antara kedua-dua pihak itu sekali gus menandakan satu pencapaian baharu dalam usaha Malaysia memperkukuh sistem kesihatan berteraskan inovasi dan keterangkuman sosial.

Inisiatif ini merupakan kolaborasi daripada projek Dana Inovasi Sosial Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) bernilai RM128,000, yang diterajui oleh Prof. Madya Dr. Fatimah Ahmedy dari Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan (FPSK), UMS.

Projek ini bertujuan menghasilkan alat mobiliti berasaskan sistem pneumatik berkos rendah bagi membantu pesakit amputasi anggota bawah menjalani fasa pemulihan penting sebelum menerima prostesis kekal.

Rehabcare Enterprise, yang aktif dalam reka bentuk dan penyediaan peralatan pemulihan, membawa kepakaran industri secara langsung ke dalam kolaborasi ini bagi memastikan produk akhir bukan sahaja menepati piawaian klinikal tetapi juga mengatasi jurang kemampuan yang sering dihadapi oleh pesakit.

Perjanjian tersebut disempurnakan oleh Naib Canselor UMS, Profesor Datuk Dr. Kasim Mansor, dan Pengurus Rehabcare Enterprise, Muhammad Iman Jabilin.

Hadir sama Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan & Inovasi), Profesor Ir. Dr. Rosalam Sarbatly; Timbalan Naib Canselor (Akademik & Antarabangsa), Profesor Dr. Rossita Shapawi; Pendaftar, Luqman Ridha Anwar serta Dekan FPSK, Datuk Dr. Mohd Yusof Hj. Ibrahim.

Dalam ucapannya, Prof. Kasim memuji kepimpinan industri Rehabcare dan pasukan penyelidik FPSK atas kejayaan mewujudkan kolaborasi yang mampu menterjemahkan pengetahuan saintifik kepada penyelesaian praktikal untuk masyarakat.

“UMS berbangga apabila kepakaran penyelidik dapat diterjemahkan kepada produk inovatif yang memberi manfaat sebenar kepada masyarakat,” katanya.

Sementara itu, Muhammad Iman berkata, Rehabcare Enterprise berbesar hati dapat bekerjasama dengan UMS dalam menghasilkan inovasi yang memberi manfaat langsung kepada komuniti.

“Gabungan pengalaman lapangan Rehabcare dan kepakaran penyelidikan UMS membolehkan kami membangunkan teknologi yang membantu pesakit mendapatkan semula keupayaan dan keyakinan untuk bergerak,” ujarnya.

Melalui kerjasama ini, Rehabcare Enterprise dan UMS mengukuhkan lagi komitmen bersama dalam memacu inovasi tempatan berimpak sosial.

Ini sekali gus memperkukuh kedudukan Malaysia sebagai peneraju serantau dalam bidang penyelidikan pemulihan dan teknologi kesihatan inklusif. – Edisi 9

Terkini

Hormati perjanjian pembentukan Kerajaan Perpaduan sehingga PRU-16

SEMUA pihak diminta agar menghormati perjanjian pembentukan Kerajaan Perpaduan peringkat Persekutuan antara Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH)...

Lagi Artikel Berkaitan