25.8 C
Kuala Lumpur
Saturday, May 4, 2024

Beberapa masalah rencat perancangan selesai isu air di UMS

Bekalan air dari Jabatan Air Negeri Sabah tidak mencukupi, tekanan air dalam tangki utama yang rendah dan isu NRW menyebabkan jadual perancangan terganggu

Mesti Baca

PERANCANGAN bagi menyelesaikan isu bekalan air di kampus Universiti Malaysia Sabah (UMS) sedikit terencat ekoran beberapa masalah lain yang timbul, kata Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir.

Beliau berkata, antara masalah yang timbul ialah isu bekalan air yang diuruskan oleh Jabatan Air Negeri Sabah tidak mencukupi, tekanan air yang rendah serta isu non-revenue water (NRW) di paip-paip kawasan luar menyebabkan bekalan air tidak sampai kepada pengguna di UMS.

Bagaimanapun, menurut beliau, kerajaan negeri Sabah dan Jabatan Air Negeri Sabah sedang berusaha bersungguh-sungguh memastikan bekalan saluran air dapat dibekalkan ke kampus UMS dan sekitarnya.

“Saya telah berbincang dan mengarahkan agar semua gerak kerja ini akan diselesaikan sesegera mungkin melalui apa jua kaedah secara bersama dengan Kerajaan Negeri Sabah dan Jabatan Air Negeri Sabah.

“Pembangunan pesat yang sedang berlaku di sekitar UMS terutamanya pembinaan Hospital UMS juga perlu dititikberatkan oleh pihak UMS dan Jabatan Air Negeri Sabah agar bekalan adalah tersedia dan mencukupi untuk jangka masa panjang,” katanya hari ini.

Semalam, Zambry bersama Setiausaha Politik Kanan Perdana Menteri, Datuk Seri Shamsul Iskandar Mohd Akin mengadakan lawatan mengejut ke UMS bagi melihat sendiri situasi di kampus universiti itu ekoran rintihan dan keluhan warganya berhubung krisis air.

Advertisements

Sebelum ini, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim meluluskan peruntukan sebanyak RM3 juta bagi menyelesaikan krisis air di kampus UMS dan tambahan RM2 juta lagi diluluskan oleh Zambry.

Beliau berkata, buat masa sekarang pihak UMS telah memasang sembilan ‘tube well’ yang dapat membekalkan sehingga 1 juta liter air sehari namun ia tidak mencukupi memandangkan keperluan bagi warga kampus ialah sebanyak 5 juta liter sehari.

“Namun demikian, masalah utama air di UMS ini ialah bekalan air yang tidak mencukupi dan ini diuruskan oleh Jabatan Air Negeri Sabah. Saya difahamkan YAB Ketua Menteri Sabah dan Kerajaan Negeri Sabah sedang bersungguh-sungguh memastikan saluran air mencukupi dapat dibekalkan ke UMS dan kawasan sekitarnya,” katanya.

Beliau turut melawat kawasan tangki air besar yang merupakan antara tangki utama saluran air untuk kawasan sekitar Sepanggar dan juga untuk UMS.

Namun demikian, katanya, dalam kebanyakan keadaan, bekalan air yang tidak cuku serta tekanan air rendah di dalam tangki besar tersebut menyebabkan air tidak dapat di pam dan disalurkan ke paip-paip sekitar.

“Bersebelahan dengan tangki besar ini, juga sedang dalam pembinaan ialah sebuah tangki utama khas untuk kegunaan dalam UMS. Insya-Allah apabila siap, sedikit sebanyak dapat meningkatkan peratusan UMS memperolehi bekalan air yang terhad daripada Jabatan Air Negeri Sabah,” katanya. – Edisi 9

Advertisements

Terkini

UMNO sambut baik pengumuman PM naikkan gaji 15 peratus

UMNO menyambut baik dan menyokong penuh pengumuman Perdana Menteri untuk menaikkan gaji penjawat awam sebanyak 15 peratus mulai 1...

Lagi Artikel Berkaitan