Wednesday, July 22, 2026

AADK Selangor gagal ambil tindakan susulan terhadap penagih

Antaranya termasuk kegagalan pegawai AADK memastikan individu terbabit menandatangani Surat Perjanjian dan Jaminan selepas dibebaskan dengan jaminan mahkamah.

Mesti Baca

AGENSI Antidadah Kebangsaan (AADK) Negeri Selangor didapati melakukan kecuaian serius kerana gagal mengambil tindakan susulan terhadap seorang individu yang disahkan positif dadah oleh sebuah makmal patologi hospital awam.

Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan (EAIC) berkata, pihaknya menerima aduan tentang perkara itu dan menjalankan siasatan berlandaskan subseksyen 27(4), Akta Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan 2009 [Akta 700] terhadap pegawai AADK terlibat.

Menurut EAIC, hasil siasatan mendapati berlaku empat kecuaian utama dalam pengendalian kes tersebut.

Antaranya termasuk kegagalan pegawai AADK memastikan individu terbabit menandatangani Surat Perjanjian dan Jaminan selepas dibebaskan dengan jaminan mahkamah.

“Kegagalan ini telah menyukarkan pelaksanaan tindakan susulan apabila individu tersebut tidak hadir semula ke Pejabat AADK seperti diarahkan,” kata EAIC dalam satu kenyataan.

Siasatan turut mendedahkan kelemahan serius dalam usaha mengesan semula individu berkenaan walaupun beberapa operasi dikatakan telah dijalankan.

“Tiada bukti dokumentasi kukuh yang menunjukkan usaha pengesanan itu benar-benar ditumpukan kepada individu terbabit,” menurut kenyataan itu lagi.

Selain itu, EAIC mendapati wujud kegagalan pengurusan AADK peringkat daerah dalam memantau pegawai bawahan dengan berkesan, sehingga membawa kepada pelanggaran SOP dan Perintah Tetap berkaitan jaminan serta pengendalian kes.

Siasatan turut membongkar kelemahan dalam prosedur operasi standard (SOP) pengesanan individu yang gagal hadir, termasuk ketiadaan garis panduan yang jelas bagi membolehkan pegawai AADK memasuki premis bagi tujuan penahanan.

Susulan dapatan siasatan tersebut, EAIC memutuskan untuk merujuk kes itu kepada Pihak Berkuasa Tatatertib AADK dengan syor supaya tindakan tatatertib dikenakan terhadap pegawai yang terlibat di bawah Peraturan 38, Peraturan-Peraturan Pegawai Awam (Kelakuan dan Tatatertib) 1993 [P.U. (A) 395/1993].

“Kesalahan ini melibatkan kecuaian dalam melaksanakan tugas sebagaimana diperuntukkan di bawah Peraturan 4(2)(j),” jelas kenyataan itu.

EAIC turut merujuk hasil siasatan kepada Ketua Pengarah AADK bagi tujuan penambahbaikan SOP penahanan individu disyaki penagih, supaya pelaksanaan tugas penguatkuasaan dapat dilaksanakan dengan lebih berkesan dan proaktif pada masa akan datang.

Terkini

Hormati perjanjian pembentukan Kerajaan Perpaduan sehingga PRU-16

SEMUA pihak diminta agar menghormati perjanjian pembentukan Kerajaan Perpaduan peringkat Persekutuan antara Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH)...

Lagi Artikel Berkaitan