Tuesday, July 21, 2026

Gangguan bekalan air bukan berpunca pusat data – Onn Hafiz

Gangguan bekalan air yang berlaku di kawasan Simpang Renggam dan Benut adalah berpunca daripada faktor kemarau berpanjangan serta penyusutan paras sumber air mentah...

Mesti Baca

MENTERI Besar Johor, Onn Hafiz Ghazi menegaskan dakwaan yang mengaitkan gangguan bekalan air di Simpang Renggam dan Benut dengan pembangunan pusat data di negeri ini adalah tidak benar dan berunsur politik.

Menurut beliau, tiada sebarang pusat data beroperasi di Simpang Renggam dan Benut seperti yang didakwa sesetengah pihak, khususnya Pemuda Pakatan Harapan (PH) Johor.

“Kenyataan yang dikeluarkan oleh Pemuda PH Johor berunsur politik dan tidak bertanggungjawab. 

“Gangguan bekalan air yang berlaku di kawasan Simpang Renggam dan Benut adalah berpunca daripada faktor kemarau berpanjangan serta penyusutan paras sumber air mentah, dan bukan sama sekali disebabkan oleh pembangunan pusat data seperti yang cuba digambarkan oleh pihak tertentu,” katanya menerusi Facebooknya malam tadi.

Onn Hafiz berkata, keadaan kemarau yang melanda ketika ini turut memberi kesan kepada beberapa negeri lain sebagaimana dilaporkan media.

Beliau menjelaskan, Loji Rawatan Air (LRA) Simpang Renggam merupakan loji utama yang membekalkan air terawat kepada sebahagian kawasan di daerah Kluang dan Pontian Utara termasuk Simpang Renggam, Jalan Benut, Jalan Renggam, Machap, Tampok, Benut serta Api-Api.

“Di dalam kawasan agihan air terawat LRA Simpang Renggam tidak terdapat sebarang pusat data.

“Pusat data yang paling hampir terletak di kawasan Perindustrian Sedenak dan ia tidak menerima bekalan air daripada LRA Simpang Renggam tetapi LRA Semangar yang sumber air mentahnya adalah daripada Sungai Johor dan bukannya daripada Empangan Machap,” jelas beliau.

Sehubungan itu, Onn Hafiz menegaskan fakta berkenaan sudah cukup membuktikan dakwaan yang cuba mengaitkan gangguan bekalan air dengan pembangunan pusat data adalah tidak tepat.

Dalam perkembangan sama, Onn Hafiz yang juga ADUN Machap berkata, Bekalan Air Berjadual (BAB) yang dilaksanakan di Simpang Renggam dan Benut sejak 7 Februari lalu, termasuk penjadualan 48 jam tanpa bekalan air mengikut zon, kini telah ditamatkan sepenuhnya.

“Semua rumah kini mendapat bekalan air seperti biasa. 

“Keputusan ini dibuat susulan perkembangan positif paras air Empangan Machap serta loji rawatan air yang kini beroperasi secara optimum selepas tempoh pemantauan rapi,” katanya.

Beliau menegaskan, Kerajaan Negeri sentiasa meletakkan kepentingan rakyat sebagai keutamaan khususnya dalam memastikan bekalan air bersih mencukupi.

“Pembangunan ekonomi dan kebajikan rakyat bukan dua perkara yang bertentangan, sebaliknya dilaksanakan secara seimbang melalui perancangan rapi, kawal selia bersepadu dan pelaburan semula dalam infrastruktur asas,” katanya. — Edisi 9

Terkini

Hormati perjanjian pembentukan Kerajaan Perpaduan sehingga PRU-16

SEMUA pihak diminta agar menghormati perjanjian pembentukan Kerajaan Perpaduan peringkat Persekutuan antara Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH)...

Lagi Artikel Berkaitan