JOHOR terus mengukuhkan kedudukannya sebagai nadi pembangunan ekonomi negara apabila mencatatkan jumlah pelaburan tertinggi bagi suku pertama tahun ini dengan nilai pelaburan langsung asing (FDI) mencecah RM30.1 bilion.
Pencapaian itu menjadikan Johor sebagai destinasi pilihan utama pelabur asing, sekali gus mencerminkan keyakinan pelabur terhadap kestabilan ekonomi serta kecekapan pentadbiran negeri dalam menyediakan persekitaran pelaburan yang kondusif.
Menteri Besar, Datuk Onn Hafiz Ghazi berkata, pencapaian bersejarah itu merupakan hasil usaha berterusan kerajaan negeri dalam merangka dasar propelabur, penyediaan infrastruktur bertaraf antarabangsa serta kerjasama erat dengan Kerajaan Persekutuan.
“Syukur Alhamdulillah, Johor telah berjaya mencatatkan pelaburan tertinggi negara bagi suku pertama tahun ini. Ini bukan sekadar angka, tetapi bukti kemampuan Johor menarik pelaburan berkualiti tinggi dan berteknologi maju,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Menurut beliau, pelaburan yang diterima turut membuka 33,000 peluang pekerjaan baharu kepada rakyat, selain menyumbang kepada pemindahan teknologi dan kepakaran asing ke dalam negara.

Tambah Onn Hafiz, kejayaan itu turut memperkukuh agenda Maju Johor, yang memberi tumpuan kepada pembangunan negeri secara mampan, inklusif dan berdaya saing.
“Pelaburan ini hasil daripada kerjasama strategik pelbagai pihak termasuk MITI, Kementerian Ekonomi, MIDA, Invest Johor, IRDA dan JTDC. Terima kasih atas komitmen serta dedikasi semua,” ujar beliau.
Dalam pada itu, Zon Ekonomi Khas Johor–Singapura (JS-SEZ) turut memainkan peranan penting dalam melonjakkan angka pelaburan, dengan insentif menarik serta kedudukan strategik berhampiran Singapura.
“JS-SEZ kini menjadi pemangkin utama dalam merancakkan ekonomi dan memperkukuh hubungan perdagangan antarabangsa. Zon ini akan terus memberi manfaat kepada lebih empat juta rakyat Johor,” katanya.
Beliau turut menjunjung kasih kepada Pemangku Sultan Johor, Tunku Mahkota Ismail Sultan Ibrahim atas sokongan dan nasihat baginda dalam menjayakan agenda pembangunan ekonomi negeri.
“Kejayaan ini adalah hasil bimbingan dan keprihatinan Tunku Mahkota Ismail terhadap kesejahteraan Bangsa Johor. Kami amat menghargainya,” kata Onn Hafiz lagi.
Johor kini berada di landasan kukuh untuk terus muncul sebagai hab pelaburan antarabangsa dan menjadi pemacu utama pertumbuhan ekonomi negara menjelang 2030. – Edisi 9

