Tuesday, July 21, 2026

Cukai saksama demi ekonomi rakyat pasca-pandemik

Rapatkan jurang dengan konsep 'mereka yang mampu menyumbang lebih' untuk menyokong sistem dan menjaga kepentingan bersama.

Mesti Baca

Fazrina K
Fazrina K
Mempunyai pengalaman lebih 15 tahun dalam dunia kewartawanan bersama syarikat media terkemuka. Pengkhususan dalam penulisan rencana, laporan khas dan analisis isu-isu semasa.

TATKALA ekonomi negara perlahan-lahan memulihkan kekuatan pasca-pandemik, perbincangan mengenai sistem cukai kembali menjadi topik hangat yang menyentuh terus kehidupan rakyat.

Dalam usaha memperkukuh kedudukan fiskal tanpa membebankan masyarakat terbanyak, kerajaan Madani memilih untuk tidak mengembalikan Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST).

Sebaliknya menambah baik pelaksanaan Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) dengan pendekatan yang lebih bersasar dan berperikemanusiaan.

Berbeza dengan GST yang dikenakan hampir kepada semua barangan dan perkhidmatan tanpa mengira sama ada ia satu keperluan asas atau kemewahan, SST baharu mengambil pendekatan yang jauh lebih adil.

Cukai kini hanya dikenakan kepada barangan yang tidak penting dan perkhidmatan mewah manakala keperluan harian seperti makanan asas dikecualikan sepenuhnya.

Ini secara langsung memastikan golongan berpendapatan rendah dan sederhana tidak terkesan secara langsung. Ia juga memberi mesej yang jelas bahawa dasar fiskal negara kini lebih inklusif dan berpihak kepada keperluan sebenar rakyat.

SST baharu ini tidak sekadar berfungsi sebagai instrumen kutipan hasil. Ia sebenarnya adalah salah satu komponen utama dalam agenda Reformasi Fiskal MADANI.

Apa yang dikutip melalui SST akan dikembalikan kepada rakyat dalam bentuk pelaburan sosial bukan sekadar dalam retorik tetapi melalui program program konkrit seperti Sumbangan Tunai Rahmah (STR), Sumbangan Asas Rahmah (SARA), bantuan awal persekolahan dan projek pembangunan infrastruktur awam.

Ini memberikan satu naratif baharu tentang cukai bahawa ia bukan beban tetapi satu bentuk kerjasama antara kerajaan dan rakyat untuk membina masa depan yang lebih sejahtera.

Lebih menarik pelaksanaan SST ini turut dirangka dengan keprihatinan terhadap ekosistem perniagaan terutamanya perusahaan kecil dan sederhana PKS.

Dalam situasi ekonomi yang masih memerlukan sokongan, kerajaan memberikan kelonggaran kepada PKS sehingga hujung tahun ini bagi pelaksanaan penuh tanpa sebarang denda atau penalti.

Malah sektor sektor tertentu juga diberikan pengecualian cukai bagi mengelakkan pertindihan dan kekeliruan.

Pendekatan ini cukup berbeza berbanding GST dahulu yang menuntut pematuhan segera daripada semua jenis perniagaan tanpa mengira kapasiti atau tahap kesiapsiagaan mereka.

Ciri paling menonjol SST baharu ini ialah sifatnya yang progresif. Cukai tidak dikenakan secara seragam kepada semua sebaliknya hanya ditujukan kepada golongan yang mampu.

Contohnya perkhidmatan mewah seperti rawatan spa eksklusif, insurans premium atau servis servis khusus akan dikenakan SST.

Ini adalah satu langkah penting dalam menyusun semula struktur cukai negara agar lebih berteraskan keadilan sosial.

Mereka yang mampu menyumbang lebih menyokong sistem yang menjaga kepentingan bersama. Pendekatan ini juga secara tidak langsung membantu merapatkan jurang ekonomi dan melindungi kelompok rentan daripada kesan ketidaksamarataan ekonomi yang semakin mencabar.

Dari perspektif makroekonomi pula, SST baharu ini ialah alat penting untuk menjana pendapatan negara secara bertanggungjawab. Dalam dunia hari ini di mana hutang negara boleh menjadi ranjau kepada kestabilan jangka panjang, kerajaan memilih jalan lebih lestari iaitu menambah hasil tanpa menambah hutang.

Hasil kutipan SST akan digunakan untuk memperkukuh fiskal negara dan mengelakkan krisis kewangan yang boleh menjejaskan generasi akan datang. Inilah perbezaan asas antara SST dan GST.

Jika GST dahulu dikaitkan dengan peningkatan inflasi dan penguncupan kuasa beli rakyat, SST baharu cuba mencapai matlamat yang sama iaitu pendapatan negara yang mampan namun dengan lebih berhati hati dan berempati.

Akhirnya kita sedang menyaksikan satu fasa baharu dalam pentadbiran fiskal negara yang berpaksikan prinsip keadilan, keseimbangan dan tanggungjawab.

SST bukan sekadar tentang cukai, ia adalah cerminan sebuah kerajaan yang mula memahami realiti hidup rakyat dan berani merombak dasar dengan pendekatan yang lebih manusiawi.

Dalam dunia pasca-COVID yang penuh ketidaktentuan, dasar sebegini bukan hanya wajar tetapi perlu. – Edisi 9

Terkini

Hormati perjanjian pembentukan Kerajaan Perpaduan sehingga PRU-16

SEMUA pihak diminta agar menghormati perjanjian pembentukan Kerajaan Perpaduan peringkat Persekutuan antara Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH)...

Lagi Artikel Berkaitan