Tuesday, July 21, 2026

Mencorakkan lembaran baharu generasi masa depan dunia

Peranan pendidikan tinggi, impak akademik dan penyelidikan, serta usaha penyelesaian kepada cabaran serantau dan global ini, makin terserlah di sebalik keperluan mendesak...

Mesti Baca

Oleh PROF DATO’ SERI IR. DR. NOOR AZUAN ABU OSMAN

SIDANG Kemuncak ASEAN Ke-46 yang baharu berlangsung dan sidang-sidang berkaitan di Malaysia menjadi medan kritikal bagi pemerkasaan sinergi serantau dan rentas sempadan serta keterlibatan strategik berorientasikan masa depan dalam mewujudkan rencana baharu daya tahan menghadapi orientasi dinamik geopolitik yang kian tidak menentu.

Peranan pendidikan tinggi, impak akademik dan penyelidikan, serta usaha penyelesaian kepada cabaran serantau dan global ini, makin terserlah di sebalik keperluan mendesak dalam menuntut arus baharu penciptaan nilai dan impak daripada kualiti pendidikan dan akademik peringkat tertinggi, dan penghasilan modal insan generasi baharu.

Dalam usaha ASEAN untuk memperkukuh integrasi dalaman dan memacu pengaruh dan kuasa baharu, kekuatan semasa tren demografi dan pertumbuhan ekonomi menawarkan peluang unik serta tuntutan lebih besar untuk universiti serantau menyatukan peranan mereka bagi memastikan kejayaan visi ASEAN dalam pengumpulan bakat dan sumber kepakaran teknologi baharu.

Dalam konteks ini, Universiti Malaya (UM), selaku institusi pengajian tinggi terulung Malaysia, berada pada kedudukan terbaik untuk terus menerajui kecemerlangan serantau dan memupuk kerjasama dalam pembangunan modal insan dan pembangunan teknologi dan kepakaran serantau, dengan membawa konteks sejarah dan global yang berketrampilan serta kekayaan gabungan semangat kemanusiaan, kesenian dan kekentalan skop akademik  dalam menghadapi risiko dan ancaman baharu.

Kepengerusian Malaysia di bawah kepimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim telah cemerlang menyuntik gelombang baharu dinamika dan peranan perluasan pengaruh dan rencana ASEAN, untuk tidak lagi terbatas kepada takuk lama yang mengikat dimensi baharu.

Sidang Kemuncak ASEAN Ke-46 yang berlangsung di ibu negara baru-baru ini.

Seperti dalam ungkapan Perdana Menteri semasa sidang kemuncak tersebut, keamanan dan kepentingan kestabilan serta usaha bersama untuk memelihara dan memupuk kebersamaan dan pembangunan serantau kekal menjadi percaturan kritikal bersama.

Dengan melibatkan pengaruh dan penglibatan baharu negara-negara kuasa Teluk (GCC) dan memperluas peranan serta pengaruh ASEAN ke arena global yang lebih luas merentas benua, kerelevanan dan potensi masa depan ASEAN menjadi landasan yang dibentuk hasil daripada tanggungjawab dan tuntutan masa depan bersama.

Dengan termaktubnya Deklarasi Kuala Lumpur 2045, Malaysia kekal menjadi peneraju kepada usaha untuk melonjak kelestarian dan keupayaan ASEAN untuk berdepan dengan cabaran dan perubahan masa depan yang kian bergolak.

Kesan gelombang perubahan ini melangkaui mana-mana sektor secara tunggal, dan impak pendidikan tinggi, bersama pulangan ekonomi daripada kelebihan demografi baharu, kekal sebagai teras utama segmen pertumbuhan baharu ASEAN.

Sinergi Indikator Kuasa ASEAN Baharu

Landskap demografi dan ekonomi ASEAN menampilkan kapasiti baharu gabungan lonjakan ekonomi, pelaburan dan perdagangan yang diperkukuh.

Purata umur median di seluruh ASEAN berada pada tahap sekitar 30 tahun, mencerminkan populasi yang kebanyakannya muda yang akan membuahkan pulangan berangkai kepada usaha memacu sektor ekonomi berlandaskan modal insan dan pembangunan sistemik teknologi.

Kira-kira 30 hingga 35 peratus daripada penduduk ASEAN berada dalam lingkungan usia 15 hingga 35 tahun, mewujudkan kumpulan potensi dan kekuatan bagi sektor sosioekonomi, pendidikan tinggi dan penyelidikan yang ketara bagi rantau ini jika digembleng dengan strategik.

Antara 2014 dan 2023, KDNK blok ini berkembang pada kadar purata tahunan 4.0 peratus, memperlihatkan ketahanan, walaupun di sebalik perubahan geopolitik dan ekonomi dunia. 

Peranan dasar pendidikan tinggi yang berpandangan jauh adalah penting dalam memanfaatkan momentum usaha bersama serantau dalam memperkasa daya tahan dan gabungan kekuatan ASEAN, dan dengan menghasilkan generasi baharu modal insan berkemahiran tinggi yang akan membantu peralihan ekonomi rantau dan mengurangkan kebergantungan asing, ini akan menjadi pembekal kepada potensi penjanaan transformasi ekonomi berlunaskan kepakaran modal insan dan ekonomi berasaskan pengetahuan.

Sistem pendidikan tinggi yang dibangunkan dengan inklusif dan holistik di seluruh rantau yang menangani jurang sistemik geografi, keterangkuman dan akses yang wujud pada peringkat intra-serantau dan intra-negara akan membantu mewujudkan rantau yang lebih mampan dan inklusif dalam usaha untuk lolos daripada middle income trap dan membantu kemajuan peralihan ekonomi, selari dengan fokus tema tahun ini tentang pengukuhan sinergi dalaman keterangkuman inklusif dan lestari.

Dengan melahirkan graduan dan penyelidik yang berkeupayaan serta berorientasikan masa depan dengan kepakaran dan kemahiran holistik berasaskan nilai dan dinamik serantau, ini akan menerajui peralihan progresif baharu untuk reformasi dan transformasi ekonomi, menyuntik mobiliti sosial menyeluruh, menangani ketidakseimbangan sosioekonomi dan kemiskinan sistemik, serta membetulkan perangkap ekonomi endemik yang berpunca daripada KDNK per kapita yang relatif rendah di ASEAN, serta alat ekonomi berkemahiran rendah dan berteknologi rendah.

Langkah konkrit harus diambil untuk memastikan kenaikan berterusan dalam Purchasing Power Parity (PPP) bagi ASEAN secara kolektif, yang dianggarkan sekitar AS$19,028 sekarang, reformasi dalam membangunkan generasi baharu kumpulan muda serantau yang berkemahiran dan berasaskan pengetahuan akan menyumbang kepada peningkatan kuasa beli dan perkembangan struktur kelas menengah.

Semua anggota ASEAN harus merancang kemajuan kualiti jangka panjang dalam penyertaan pendidikan tinggi, suatu ukuran yang telah berjaya dilaksanakan oleh Malaysia di bawah kepimpinan Menteri Pendidikan Tinggi Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir dengan rencana rangka strategik jangka panjang yang diperlukan dalam memanfaatkan dan memupuk infrastruktur serta kesiapsiagaan struktur, dan dalam menghasilkan modal insan yang dilengkapi set kemahiran dan mentaliti berlandaskan nilai.

Model baharu pendidikan tinggi ini boleh diterjemahkan dalam konteks serantau ASEAN, di mana konsep yang diglobalisasikan namun berteras dan mengakar ke bumi, kepada persekitaran dan konteks budaya serta rantau sendiri ini menghasilkan pemacu pembinaan kapasiti yang menyeluruh dalam menuai manfaat kumpulan kelebihan demografi baharu bagi setiap anggota ASEAN.

Walaupun integrasi dan perkongsian pendidikan tinggi serantau agak positif, ia memerlukan saluran baharu dinamika kreatif, dan memerlukan usaha kritikal dalam menangani kadar penyertaan  pengajian tinggi di seluruh ASEAN yang puratanya 40.16 peratus, yang menjadi petanda jurang luas yang wujud di seluruh rantau ini.

Mewujudkan Ruang Strategik Baharu Bagi Sektor Masa Depan

Dalam sektor-sektor strategik akan datang termasuk ekonomi digital, peralihan tenaga, dan kemajuan ke arah membentuk komuniti mampan berasaskan keadilan sosioekonomi serta penerimaan teknologi tinggi dan ekosistem perdagangan, pasaran dan rantaian bekalan yang stabil dan berdaya tahan, usaha dasar rasmi kerajaan sahaja tidak mencukupi.

Peranan para pendidik, pakar penyelidik,  pelaku industri dan masyarakat sivil kekal kritikal dalam mengubah unjuran rantau. Ekonomi digital ASEAN diunjurkan mencecah USD 1 trilion menjelang 2030, didorong oleh e-dagang, fintech dan ekosistem start-ups.

Universiti di rantau ini mesti secara strategik memanfaatkan perkara ini dengan usaha berterusan dalam menambah baik dan mewujudkan hab inovasi serta inkubator baharu untuk menghubungkan pelajar dengan bimbingan keusahawanan, dan membangunkan pusat penyelidikan bersama yang tertumpu pada kecerdasan buatan (AI), rantaian blok, dan keselamatan siber bagi memenuhi permintaan industri.

Dalam bidang peralihan tenaga, permintaan tenaga ASEAN diunjurkan meningkat tiga kali ganda menjelang 2050, di mana untuk mencapai sasaran 23 peratus tenaga boleh diperbaharui menjelang 2025, rantau ini memerlukan pelaburan sekitar AS$27 bilion setahun.

Usaha ini juga memerlukan program penyelidikan multidisiplin mengenai ekosistem berkaitan tenaga termasuk penyimpanan, integrasi grid, dan bahan mampan, serta kerjasama strategik dengan industri melalui perkongsian awam-swasta untuk memacu projek tenaga boleh diperbaharui.

Perkongsian pendidikan tinggi serantau sedia ada termasuk ASEAN University Network (AUN) mempromosikan jaminan kualiti, pemindahan kredit dan program ijazah bersama dalam kalangan institusi ahli, di mana UM telah menjadi rakan aktif utama, tetapi ini tidak seharusnya menjadi usaha tunggal semata-mata.

Seperti mana pengaruh ASEAN melalui penunjuk utama  tidak terhad kepada halangan geografi dan ideologi semata-mata, perkongsian pendidikan tinggi di rantau ini harus bergerak selari dengan nafas baharu ini.

Dengan memperdalam perkongsian utama melalui kerjasama rentas sempadan dan rentas benua, termasuk kerjasama ASEAN-EU atau ASEAN-Amerika Latin, rantau ini dapat mempamerkan kepakaran, sumber dan kelebihan terasnya dalam sektor-sektor utama sambil melengkapi kekuatan rantau-rantau lain. 

Usaha kerjasama, termasuk pembangunan kurikulum, khususnya dalam bidang AI dan teknologi baharu, memastikan graduan di seluruh ASEAN dapat bersaing pada tahap tertinggi, memperkukuh jejak dan impak penyelidikan dan akademik ASEAN di pentas global.

Negara-negara anggota ASEAN perlu menggandakan usaha untuk meningkatkan pembiayaan bagi penyelidikan, yang akan mewujudkan kesan gelombang positif dalam pembangunan umum rantau. Pada masa ini, negara anggota memperuntukkan secara purata 1.5 peratus daripada KDNK kepada R&D, berbanding 2.8 peratus di negara OECD.

Perkongsian penyelidikan global ASEAN meningkat daripada 5 peratus pada 2010 kepada kira-kira 10 peratus pada 2024, dipacu oleh peningkatan kerjasama tetapi masih wujud jurang yang tinggi yang boleh diatasi bersama.

Dengan memanfaatkan kira-kira 234 juta warganegara ASEAN berusia 15–35 tahun, rantau ini berpeluang meraih dividen demografi, dan ini hanya dapat diselarikan dengan pendidikan berkualiti yang sejajar dengan matlamat pasaran dan industri masa depan.

Sektor seperti e-dagang, kewangan digital dan tenaga bersih dijangka mewujudkan lebih 10 juta pekerjaan baharu menjelang 2030, dan ini membuka ruang baharu untuk universiti di rantau ini bekerjasama lebih lanjut.

Populasi kolektif blok ASEAN yang hampir 700 juta, umur median yang muda, dan KDNK yang semakin meningkat menjadi harapan baharu, dan UM bersedia mengetuai usaha serantau dalam merangka  penyelesaian dan kekuatan baharu kepada rantau dan rakyatnya, serta kepada kesejahteraan kemanusiaan global.

Apabila universiti di seluruh rantau mengumpulkan sumber dan kekuatan — baik intelektual mahupun infrastruktur — hasil akhirnya bukan sahaja terhad kepada rantau ini, ia membentuk masa depan generasi baharu untuk masa depan dunia.


Penulis merupakan Naib Canselor Universiti Malaya dan Felo Akademi Sains Malaysia.

Terkini

Hormati perjanjian pembentukan Kerajaan Perpaduan sehingga PRU-16

SEMUA pihak diminta agar menghormati perjanjian pembentukan Kerajaan Perpaduan peringkat Persekutuan antara Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH)...

Lagi Artikel Berkaitan