Tuesday, July 21, 2026

Malaysia catat RM89.8 bilion pelaburan diluluskan – MIDA

Meningkat 3.7 peratus berbanding tempoh sama tahun lalu, membuktikan keyakinan pelabur terhadap negara kekal kukuh.

Mesti Baca

MALAYSIA merekodkan jumlah pelaburan diluluskan sebanyak RM89.8 bilion bagi suku pertama tahun ini, meningkat 3.7 peratus berbanding tempoh yang sama tahun lalu.

Mengumumkan perkara itu, Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) berkata, jumlah tersebut melibatkan 1,556 projek merangkumi sektor pembuatan, perkhidmatan, dan sektor utama, dengan lebih 33,300 peluang pekerjaan baharu dijangka diwujudkan untuk rakyat Malaysia.

MIDA menyifatkan pencapaian tersebut sebagai bukti keyakinan pelabur terhadap dasar negara yang jelas, meskipun dalam persekitaran global yang masih tidak menentu berikutan konflik geopolitik dan ketidaktentuan ekonomi.

“Selain membawa masuk pekerjaan dan peluang perniagaan berkualiti, projek yang diluluskan MIDA bagi suku pertama ini menyokong usaha negara membina ekonomi yang lebih pelbagai dan berdaya tahan.

“Kami akan terus memperkukuh ekosistem tempatan dan memastikan tenaga kerja kita bersedia untuk memanfaatkan peluang baharu,” kata MIDA dalam kenyataan hari ini.

Daripada jumlah keseluruhan pelaburan, pelaburan asing (FI) menyumbang RM60.4 bilion atau 67.3 peratus manakala pelaburan domestik (DI) pula berjumlah RM29.4 bilion (32.7 peratus).

Kata MIDA, Singapura muncul sebagai pelabur asing terbesar dengan RM28.3 bilion, diikuti Amerika Syarikat (RM9.9 bilion), China (RM7.9 bilion), British Virgin Islands (RM6.6 bilion) dan Taiwan (RM1.7 bilion).

Dari segi agihan mengikut negeri, pula, MIDA berkata, Johor mencatatkan pelaburan tertinggi dengan RM30.1 bilion, diikuti oleh Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (RM15.0 bilion), Sabah (RM10.9 bilion), Selangor (RM10.2 bilion), dan Pulau Pinang (RM9.2 bilion).

Dalam pada itu, sektor perkhidmatan kekal sebagai penyumbang terbesar dengan RM57.8 bilion pelaburan diluluskan melibatkan 1,342 projek, menunjukkan lonjakan 39.5 peratus berbanding suku pertama 2024. 

“Sebahagian besar pelaburan ini tertumpu kepada subsektor maklumat dan komunikasi, khususnya dalam pembangunan pusat data dan pengkomputeran awan,” kata kenyataan itu.

Pelaburan dalam sektor pembuatan pula berjumlah RM30.5 bilion merangkumi 207 projek, dengan subsektor produk logam asas (RM8.9 bilion) dan elektrik dan elektronik (RM8.6 bilion) antara penyumbang utama dan dijangka mewujudkan 18,317 pekerjaan baharu.

Peningkatan ketara juga direkodkan dalam indeks Pengurusan, Teknikal dan Penyeliaan (MTS) kepada 46.3 peratus berbanding 44.2 peratus pada suku yang sama tahun lalu sekali gus menunjukkan peningkatan dalam penciptaan pekerjaan berkemahiran tinggi dan bergaji lumayan.

Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI),  Datuk Seri Tengku Zafrul Abdul Aziz berkata, prestasi pelaburan suku pertama adalah petunjuk positif terhadap hala tuju ekonomi negara.

“Kita berasa bangga dengan pertumbuhan 3.7 peratus tahun ke tahun ini. Selain menjana lebih 33,000 peluang kerja, peningkatan indeks MTS kepada 46.3 peratus membuktikan bahawa kita sedang menuju ke arah penciptaan pekerjaan berkemahiran tinggi dan berpendapatan tinggi untuk rakyat.

“Sebagai Pengerusi ASEAN 2025, Malaysia juga sedang giat memperkukuh integrasi serantau bagi mengukuhkan kedudukannya sebagai hab pembuatan dan perkhidmatan kepada pasaran ASEAN yang berpopulasi 680 juta,” katanya.

Meskipun landskap pelaburan global terus dibayangi ketegangan perdagangan antara AS dan China, serta dasar perlindungan ekonomi oleh negara-negara maju, Malaysia terus menunjukkan prestasi memberangsangkan.

MIDA kini sedang menguruskan saluran pelaburan aktif bernilai RM48.5 bilion, manakala RM59.3 bilion lagi berada dalam fasa rundingan. Sektor perkhidmatan kekal dominan dalam jumlah ini.

Dalam pada itu, kadar realisasi projek pelaburan kekal tinggi iaitu sebanyak 87 peratus daripada 3,494 projek sektor pembuatan yang diluluskan antara 2021 hingga 2024 kini berada dalam pelbagai peringkat pelaksanaan, termasuk pembinaan kilang dan pengeluaran sepenuhnya. – Edisi 9

Terkini

Hormati perjanjian pembentukan Kerajaan Perpaduan sehingga PRU-16

SEMUA pihak diminta agar menghormati perjanjian pembentukan Kerajaan Perpaduan peringkat Persekutuan antara Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH)...

Lagi Artikel Berkaitan