Tuesday, July 21, 2026

Malaysia melonjak 11 anak tangga dalam laporan WCR 2025

Sekali gus menduduki tempat ke-23 daripada 69 ekonomi dunia berbanding kedudukan ke-34 tahun lalu dan pencapaian terbaik sejak 2020.

Mesti Baca

MALAYSIA mencatat sejarah membanggakan apabila melonjak 11 anak tangga dalam Laporan Penarafan Daya Saing Dunia (WCR) 2025, sekali gus menduduki tempat ke-23 daripada 69 ekonomi dunia berbanding kedudukan ke-34 tahun lalu.

Laporan yang diterbitkan Institut Pembangunan Pengurusan (IMD) berpangkalan di Switzerland itu menilai keupayaan sesebuah negara menjana serta mengekalkan persekitaran mesra perniagaan yang menyumbang kepada kemakmuran jangka panjang.

Kedudukan cemerlang itu adalah yang terbaik pernah dicapai Malaysia sejak 2020 dan dilihat sebagai cerminan kepada pemulihan ekonomi yang kukuh serta pembaharuan berterusan di bawah Kerangka Ekonomi MADANI.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, pencapaian tersebut membuktikan bahawa usaha pembaharuan yang dibawa Kerajaan MADANI sedang membuahkan hasil.

“Kita buktikan Malaysia mampu melonjak jauh dengan tekad politik, iltizam seluruh jentera kerajaan dan kerjasama erat sektor swasta.

“Prestasi memberangsangkan dalam perdagangan, kecekapan pentadbiran dan persekitaran pelaburan menjadi asas kukuh kepada kemajuan ekonomi yang inklusif dan mampan.

ANWAR IBRAHIM

“Pencapaian adalah milik semua rakyat Malaysia. Ia adalah antara asas penting dalam perjalanan kita untuk meletakkan negara ini dalam kelompok ekonomi paling berdaya saing menjelang 2033 demi masa depan yang lebih cerah untuk anak-anak kita,” katanya hari ini.

Antara pemacu utama peningkatan Malaysia ialah dalam tiga faktor teras iaitu Prestasi Ekonomi, Kecekapan Kerajaan dan Kecekapan Perniagaan.

Dalam kategori Prestasi Ekonomi, Malaysia melonjak ke tangga keempat terbaik berbanding ke lapan pada tahun lalu. 

Manakala, Kecekapan Kerajaan dan Kecekapan Perniagaan masing-masing menunjukkan peningkatan lapan anak tangga.

Sub-faktor Perdagangan Antarabangsa turut mencatatkan prestasi memberangsangkan apabila melonjak ke kedudukan keenam daripada tempat ke-17.

Ini dipacu oleh pertumbuhan eksport barangan dan perkhidmatan, kepelbagaian pasaran serta peningkatan ketibaan pelancong yang memperkukuh lebihan dagangan negara.

Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) melalui Jawatankuasa Daya Saing Negara (JKDSN) yang dipengerusikan bersama oleh Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan telah menyelaras strategi nasional merentas kementerian dan agensi bagi memperkukuh ekosistem daya saing negara.

Pada peringkat pelaksanaan pula, Pasukan Petugas Khas Reformasi Agensi (STAR) yang diketuai oleh Ketua Setiausaha Negara (KSN), Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar, memastikan pelaksanaan lebih 1,000 inisiatif di bawah program Reformasi Kerenah Birokrasi (RKB), selaras dengan Agenda Reformasi Perkhidmatan Awam (ARPA).

Sementara itu Menteri MITI, Datuk Seri Tengku Zafrul Aziz berkata, lonjakan prestasi itu membuktikan bahawa pembaharuan struktur dan pengurangan kerenah birokrasi memberi kesan langsung kepada daya saing serta tarikan pelaburan ke dalam negara.

“Peningkatan daya saing negara sebanyak 11 anak tangga ke tangga ke-23 ini menggambarkan bagaimana reformasi birokrasi berkait rapat dengan pembangunan industri dan pelaburan. 

“Pendekatan whole-of-government di bawah Kerajaan MADANI juga membuktikan kesungguhan kita untuk melakukan pembaharuan menyeluruh demi kemajuan negara,” katanya.

MITI optimis bahawa dengan tadbir urus berteraskan integriti serta kerjasama erat antara Kerajaan Persekutuan, negeri dan industri, Malaysia berada pada landasan yang kukuh untuk menempatkan diri dalam kelompok 12 ekonomi paling berdaya saing dunia menjelang tahun 2033. – Edisi 9

Terkini

Hormati perjanjian pembentukan Kerajaan Perpaduan sehingga PRU-16

SEMUA pihak diminta agar menghormati perjanjian pembentukan Kerajaan Perpaduan peringkat Persekutuan antara Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH)...

Lagi Artikel Berkaitan