Thursday, July 23, 2026

Kematian Palanivel amat dirasai keluarga besar BN – Zahid

Mendiang Palanivel dilapor meninggal dunia di Hospital Kuala Lumpur (HKL) pada pukul 8 pagi ini pada usia 76 tahun.

Mesti Baca

KEMATIAN bekas Presiden MIC, Datuk Seri G. Palanivel amat dirasai oleh bagi keluarga besar Barisan Nasional (BN), kata Pengerusinya, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.

Menurut Zahid, bekas Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitat itu bukan hanya pemimpin, tetapi juga sahabat, pembimbing dan figura yang menyatukan. 

“Segala jasa, pengorbanan dan khidmat beliau sepanjang bergelar Presiden MIC, Ahli Parlimen dan Menteri Kabinet akan terus hidup dalam lipatan sejarah dan ingatan kita semua,” katanya hari ini.

Mendiang Palanivel dilapor meninggal dunia di Hospital Kuala Lumpur (HKL) pada pukul 8 pagi ini pada usia 76 tahun.

Zahid yang juga Presiden UMNO berkata, kematian mendiang bukan sekadar kehilangan seorang tokoh politik tetapi hilangnya sebutir permata yang telah menyumbang dengan penuh dedikasi dalam perjalanan pembangunan negara. 

“Dalam diam dan tenang perwatakannya, tersimpan jiwa pemimpin yang banyak menabur bakti kepada rakyat dan tanah air.

“Semoga keluarga mendiang dikurniakan kekuatan dan ketabahan dalam menghadapi saat penuh duka ini. Negara turut berkabung bersama kalian,” katanya.

Untuk rekod mendiang menyertai MIC sebagai ahli biasa pada 1968 dan mula bertanding dalam Pilihan Raya Umum (PRU) pada 1990.

Beliau memenangi kerusi Parlimen Hulu Selangor pada PRU 1990 dan kekal sebagai wakil rakyat di kawasan itu selama empat penggal berturut-turut sebelum tewas pada 2008.

Palanivel kembali ke Parlimen pada 2013 sebagai wakil rakyat bagi kawasan Cameron Highlands.

Beliau mengambil alih kepimpinan MIC apabila presiden yang lama berkhidmat, Tun S Samy Vellu, meletakkan jawatan pada 2010.

Dilahirkan pada 1 Mac 1949 di Pulau Pinang, Palanivel memulakan kerjaya sebagai Pegawai Penyelidik di Muzium Negara menerusi Projek Lembah Bujang pada 1973 sebelum menyertai Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (BERNAMA) sebagai wartawan kanan pada April 1977.

Pada 1984, beliau dilantik sebagai penyunting bagi berita dalam negeri dan ekonomi agensi berita itu sebelum dipinjamkan sebagai setiausaha akhbar kepada Samy Vellu selaku Menteri Kerja Raya antara 1987 hingga 1990. – Edisi 9

Terkini

Hormati perjanjian pembentukan Kerajaan Perpaduan sehingga PRU-16

SEMUA pihak diminta agar menghormati perjanjian pembentukan Kerajaan Perpaduan peringkat Persekutuan antara Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH)...

Lagi Artikel Berkaitan