Wednesday, July 22, 2026

Momentum ekonomi dijangka kekal positif tahun ini

Pelaksanaan bantuan sosial kerajaan seperti STR dan SARA turut meningkatkan perbelanjaan rakyat, seterusnya menyokong aktiviti ekonomi keseluruhan.

Mesti Baca

EKONOMI Malaysia terus menunjukkan prestasi meyakinkan apabila mencatat pertumbuhan 5.2 peratus pada suku ketiga 2025, lebih tinggi berbanding 4.4 peratus pada suku sebelumnya, dipacu kekukuhan semua sektor utama serta permintaan domestik yang masih teguh.

Kementerian Kewangan dalam satu kenyataan berkata, permintaan domestik kekal menjadi teras pertumbuhan, berkembang 5.8 peratus hasil perbelanjaan isi rumah yang kukuh, pasaran buruh stabil dan kadar inflasi yang terkawal.

Menurut MOF, pelaksanaan bantuan sosial kerajaan seperti Sumbangan Tunai Rahmah (STR) dan Sumbangan Asas Rahmah (SARA) turut meningkatkan perbelanjaan rakyat, seterusnya menyokong aktiviti ekonomi keseluruhan.

Katanya, bagi tempoh Januari hingga September 2025, ekonomi negara berkembang 4.7 peratus, membuktikan asas Malaysia kekal berdaya tahan di sebalik ketidaktentuan global.

Perdana Menteri merangkap Menteri Kewangan, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, pencapaian itu menempatkan negara di landasan untuk mencapai sasaran pertumbuhan 4.0 peratus hingga 4.8 peratus bagi tahun 2025.

“Dengan permintaan domestik yang berdaya tahan, pasaran buruh yang stabil dan pelaburan berterusan dalam sektor pertumbuhan dan nilai yang tinggi, Kerajaan sedang membina asas yang kukuh untuk momentum ekonomi yang mampan sepanjang tahun ini,” katanya dalam kenyataan itu.

Dari segi penawaran, MOF berkata, pertumbuhan pada suku ketiga 2025 didorong oleh sektor perkhidmatan (5.0 peratus) dan pembuatan (4.1 peratus).

Manakala sektor perlombongan mencatatkan pemulihan yang ketara  iaitu sebanyak 9.7 peratus.

“Perkembangan dalam sektor perkhidmatan disumbangkan oleh subsektor makanan & minuman dan penginapan serta pengangkutan & penyimpanan. 

“Sektor pembuatan mengekalkan pertumbuhan yang stabil disokong oleh industri berorientasikan eksport dan domestik. 

“Sektor perlombongan kembali pulih didorong oleh pengeluaran gas asli dan minyak mentah & kondensat yang lebih tinggi,” katanya.

MOF berkata, beberapa indikator utama turut menunjukkan peningkatan antaranya guna tenaga yang meningkat 3.1 peratuskepada 17 juta manakala kadar pengangguran kekal 3 peratus.

Inflasi pula kekal stabil pada paras 1.3 peratus sementara nilao jualan pembuatan meningkat 3.5 peratus kepada RM500.1 bilion.

Indeks Pengeluaran Perindustrian (IPP) pula naik 4.9 peratus sementara perdagangan luar berkembang 3.7 peratus dengan lebihan dagangan sebanyak RM50.3 bilion.

MOF berkata, akaun semasa mencatat lebihan RM12.2 bilion iaitu tertinggi dalam beberapa tahun manakala pelaburan langsung asing (FDI) meningkat dengan aliran masuk bersih RM8.5 bilion.

“Ringgit kekal stabil pada RM4.2070 berbanding dolar AS iaitu meningkat sebanyak 0.1 peratus dan mengukuhkan kedudukan dalam kalangan mata wang berprestasi terbaik di Asia,” katanya.

Sementara itu Anwar berkata, kerajaan komited memperkukuh kerangka  Ekonomi Madani melalui pembaharuan struktur dan fiskal, peningkatan produktiviti serta galakan pelaburan berkualiti tinggi.

Katanya, usaha mengurangkan defisit fiskal diteruskan bagi mencapai sasaran 3.8 peratus pada 2025 dan 3.5 peratus pada 2026.

“Melangkah ke hadapan, Rancangan Malaysia Ketiga Belas dan Belanjawan MADANI Keempat akan memacu trajektori ekonomi dan terus menyokong usaha untuk melindungi kesejahteraan rakyat di samping memastikan limpahan manfaat pertumbuhan terus dinikmati bersama,” katanya. — Edisi 9

Terkini

Hormati perjanjian pembentukan Kerajaan Perpaduan sehingga PRU-16

SEMUA pihak diminta agar menghormati perjanjian pembentukan Kerajaan Perpaduan peringkat Persekutuan antara Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH)...

Lagi Artikel Berkaitan