BUNYI tembakan kedengaran di skrin, jeritan pemain berlegar dalam permainan maya, dan sorakan kemenangan bergema setelah tumpasnya lawan.
Itulah dunia baharu yang semakin menguasai kehidupan remaja hari ini, menjadikan mereka mabuk dengan ilusi seakan-akan ia realiti.
Dunia tanpa sempadan waktu dan tempat, namun siapa sedar di sebalik keseronokan yang mereka nikmati secara melampau, terdapat kisah pilu yang menanti di penghujung permainan.
Dalam era teknologi yang kian maju, permainan video kini tampil semakin realistik dan berjaya memikat minat ramai, terutama remaja yang masih mentah fikirannya.
Mereka sering terperangkap antara hakikat dan khayalan, apatah lagi dengan sifat ingin tahu yang tinggi serta keinginan untuk mencuba perkara baharu.
Namun, di sebalik keseronokan dunia maya yang seolah-olah tiada batas, tersembunyi bahaya yang perlahan-lahan meresap ke dalam jiwa.
Apa yang pada awalnya sekadar hiburan, kini berubah menjadi punca kelalaian, kerosakan emosi, dan bahkan mendorong kepada perlakuan jenayah.
Siapa sahaja yang tidak tahu permainan dalam talian seperti Prince of Persia, Super Mario atau Counter Strike.
Ini adalah sebahagain permainan digital yang pernah dikenali dan menjadi kegilaan suatu ketika dahulu.
Mengikut peredaran masa dan teknologi yang semakin berkembang, terciptanya pelbagai permainan dalam talian baharu seperti PUBG, ML, Roblox, Minecraft dan banyak lagi yang menjadi kegilaan remaja masa kini.
Apakah yang akan terjadi apabila permainan berbentuk hiburan atau sekarang ini diistilahkan sebagai e-sukan berubah menjadi perlakuan jenayah?
Masyarakat kini berdepan dilema, kita semakin dikaburi oleh dunia yang sangat canggih dengan kemajuan teknologi sedia ada, menjadikan remaja semakin lalai dengan kewajiban yang sepatutnya diutamakan.
Hal ini terbukti apabila pencapaian akademik di institusi pengajian telah dipandang remeh oleh para pelajar di peringkat sekolah lagi.
Jika dahulu para pelajar berlumba-lumba mengejar keputusan cemerlang dan pencapaian akademik yang baik, kini mereka lebih sibuk mengejar kedudukan tertinggi dalam permainan dalam talian.
Mutakhir ini negara dikejutkan dengan pelbagai kes tragis melibatkan pelajar sekolah. Apa yang pada mulanya sekadar hiburan permainan video kini menjadi punca ketagihan yang membimbangkan.
Tular baru-baru ini kejadian seoranh kanak-kanak lelaki berusia enam tahun dikelar dan ditikam oleh abangnya berusia sembilan tahun akibat pertikaian kecil dalam permainan Roblox.
Menurut laporan media, kejadian tersebut dipercayai berpunca daripada ketagihan melampau terhadap permainan atas talian menyebabkan si abang mengalami halusinasi pada waktu malam.
Lebih mengerikan, dia seolah-olah mendengar bisikan yang mengarahkannya untuk mencederakan ahli keluarga sendiri sebelum bertindak menyerang adiknya menggunakan pisau dapur.
Apabila diteliti secara mendalam, punca utama tragedi sebegini sebenarnya datang daripada tahap kawalan dan pengawasan ibu bapa terhadap anak-anak di rumah.
Siapa sangka, anak yang dididik dan dibelai dengan penuh kasih sayang boleh berubah menjadi pelaku jenayah pada usia yang begitu muda hanya disebabkan oleh ketagihan permainan dalam talian.
Hakikatnya, ibu bapa memainkan peranan yang amat penting dalam membentuk disiplin dan keseimbangan hidup anak-anak, khususnya dalam penggunaan telefon pintar.
Oleh itu, pengawasan yang konsisten amat diperlukan. Ibu bapa boleh menetapkan peraturan atau syarat tertentu, seperti mengehadkan tempoh masa penggunaan telefon, memilih aplikasi yang sesuai, serta memastikan anak-anak tidak terdesah kepada kandungan yang tidak sepatutnya.
Langkah sebegini bukan sahaja dapat mengawal ketagihan terhadap gajet, malah mendidik anak-anak tentang kepentingan disiplin, keseimbangan hidup, dan pengurusan masa.
Dengan pendekatan yang bijak dan berhemah, anak-anak bukan sahaja dapat menikmati hiburan digital secara sihat, malah memperoleh tidur yang mencukupi, mengurus emosi dengan baik, dan membina keperibadian yang lebih matang.
Kita tidak menolak kemajuan teknologi dan tidak juga menafikan dunia e-sukan serta para penggemarnya yang merentasi latar belakang, dari kalangan dewasa profesional sehinggalah kanak-kanak.
Seperti yang kita sedia maklum, industri ini bernilai berbilion ringgit dan berpotensi menjana masa depan yang cerah sekiranya dikawal dengab betul.
Namun, apabila sempadan moral dan kesejahteraan mental tidak dijaga, teknologi yang sepatutnya menjadi alat kemajuan akhirnya akan memakan diri.
Semuanya berputar dalam satu kitaran yang akhirnya memerangkap anak-anak remaja pada hari ini.
Daripada sekadar bermain untuk mengisi masa, akhirnya membelenggu kehidupan mereka. Daripada sekadar hiburan, bertukar menjadi ketagihan. Atau daripada sekadar watak maya, berubah menjadi pesalah jenayah di dunia nyata.
Oleh itu, ibu bapa perlu kembali berperanan sebagai pelindung, bukan sekadar pengkritik. Mereka harus memantau, bukan hanya marah.
Guru pula harus mendidik, bukan sekadar menghukum, manakala pihak berkuasa mesti bertindak bukan selepas tragedi, tetapi sebelum ia berlaku.
Hal ini kerana apabila hobi bertukar menjadi tragedi, tiada butang “restart” yang mampu mengembalikan nyawa seseorang. — Oleh NUR AZLINA AZMI (Universiti Malaya)

