LANDSKAP seni dan budaya di Pulau Pinang terus mekar apabila Galeri Seni Lin Xiang Xiong dibuka secara rasmi oleh Yang di-Pertua Negeri, Tun Ramli Ngah Talib hari ini.
Pembukaan galeri itu menyaksikan komitmen berterusan Pulau Pinang mengangkat seni sebagai wahana diplomasi, pemerkasaan budaya dan jalinan dialog global.
Terletak di The Light Waterfront, Gelugor, iaitu di pesisir pantai yang menjadi identiti negeri, galeri berkenaan dijangka menjadi pusat tumpuan penggiat seni dan pelawat antarabangsa.
Pengasas galeri, Prof. Lin Xiang Xiong berkata, kewujudan galeri itu melangkaui nilai estetika semata-mata, sebaliknya membawa aspirasi Malaysia sebagai negara yang memilih kreativiti dan kemanusiaan dalam mendepani cabaran geopolitik dunia.
“Pada ketika perbezaan mendominasi naratif global, Malaysia memilih untuk menjawabnya dengan kreativiti dan belas kasihan.

“Galeri ini bukan hanya penghormatan kepada seni, tetapi komitmen terhadap dialog serta ingatan bahawa keamanan terbina melalui persefahaman,” katanya pada majlis perasmian galeri tersebut hari ini.
Hadir sama Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow.
Pembabitan para pimpinan negeri dalam majlis perasmian itu turut mencerminkan iltizam Pulau Pinang memperkukuh pembangunan kreatif dan kerjasama budaya antarabangsa.
Para tetamu kemudiannya diberi kesempatan mengikuti pratonton pameran eksklusif bertajuk “The Vicissitudes of Life”, memuatkan 99 karya seni Xiang Xiong yang mengangkat tema besar kemanusiaan seperti peperangan, pencemaran dan kemiskinan.
Koleksi itu menjadi peringatan keras tentang realiti sejagat sambil mengetengahkan harapan yang menjadi nadi perjuangan seni beliau.
Sebagai antara inisiatif budaya persendirian paling ambisius di rantau ini, galeri berkenaan bakal menganjurkan simposium antarabangsa, residensi artis, program pendidikan serta berfungsi sebagai badan pemikir budaya bagi memacu kolaborasi dengan institusi seni dan organisasi keamanan di peringkat global.
Namun demikian, penganjur memaklumkan galeri itu belum dibuka kepada umum berikutan proses kuratorial akhir dan penyelarasan antarabangsa yang masih berlangsung.
Tarikh pembukaan rasmi kepada orang ramai akan diumumkan dalam masa terdekat. — Edisi 9

