
TARIKH luput Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka pada November tahun ini dan Johor Mac tahun depan. Bagaimana pun, tarikh tersebut bukan sekadar angka dalam kalendar.
Jauh lebih penting, ia adalah ujian keberanian politik bagi Barisan Nasional (BN) khususnya UMNO sama mereka benar-benar yakin dengan kekuatannya atau masih lagi berlindung di sebalik payung orang lain.
Melihat kepada jarak tempoh kedua-dua DUN ini berakhir, ia boleh dibubarkan serentak bagi memberi laluan Pilihan Raya Negeri (PRN) secara bersama.
Kedua-dua negeri dikuasai BN, kedudukan kerajaan negeri juga dalam keadaan stabil, tiada isu besar di samping tiada krisis dalaman yang menggugat.
Tempoh matang pula hanya berjarak sekitar beberapa bulan. Jika benar BN berada dalam posisi kukuh, apa lagi yang ditunggu?
Politik tidak pernah memberi ganjaran kepada mereka yang ragu-ragu. Ini yang berlaku dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) lalu.
Lebih menarik, kedudukan parti lawan kini berada pada titik paling lemah. Perikatan Nasional (PN) bergelut dengan krisis kepercayaan manakala Bersatu pula berdepan perpecahan dan sengketa dalaman.
Namun isu sebenar bukan soal tarikh pembubaran. Isu sebenar ialah apakah UMNO mahu bergerak solo atau terus bergantung kepada pihak lain?
Kerjasama dengan Pakatan Harapan (PH) di peringkat Persekutuan telah memberi kestabilan, itu hakikat.
Tetapi pilihan raya negeri adalah pentas berbeza. Akar umbi tidak pernah benar-benar selesa dengan formula politik yang terpaksa.
Sentimen “UMDAP” mungkin klise bagi elit, tetapi di peringkat bawah ia masih bernyawa.
Bertanding bersama PH mungkin selamat dari sudut kiraan kerusi tetapi politik yang terlalu selamat sering membunuh identiti.
Jika BN terus bergantung pada formula gabungan, bilakah UMNO mahu menguji kekuatan sebenar selepas badai dalam dua PRU lalu?
Bertanding solo bukan langkah emosional. Ia langkah strategik — jika benar keyakinan itu wujud.
Menang besar secara solo akan memulihkan moral parti, mengukuhkan dominasi di Johor dan Melaka, serta menghantar mesej jelas menjelang PRU-16 bahawa BN kembali sebagai paksi utama politik Melayu dan nasional.
Sebaliknya, jika masih takut untuk bersendirian, mesej yang sampai kepada rakyat mudah iaitu keyakinan BN belum cukup.
Kerjasama pasca pilihan raya boleh dibentuk atas nama kestabilan. Itu politik realiti. Tetapi mandat mesti diperoleh atas jenama sendiri.
Tanpa ujian sebenar, UMNO akan terus hidup dalam bayang-bayang persepsi bahawa ia tidak lagi mampu berdiri sendiri.
PRN Melaka dan Johor sama ada diadakan serentak atau berasingan, adalah referendum terhadap keberanian politik khususnya bagi UMNO dan BN.
Dan dalam politik, keberanian sering memisahkan parti yang memimpin sejarah dengan parti yang sekadar menumpang arus. — Edisi 9

