PARA pemegang Lesen Memandu Malaysia (LMM) diingatkan agar mengemas kini maklumat kad pengenalan diri bagi mengelak mereka tidak dapat menikmati subsidi bersasar Budi Madani RON95 (BUDI95).
Ini kerana menurut Kementerian Pengangkutan (MOT), hasil semakan pangkalan data Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) mendapati terdapat sekitar 0.88 peratus daripada hampir 17 juta penerima BUDI95 belum mengemas kini maklumat masing-masing.
MOT berkata, antara penerima BUDI95 yang akan berdepan masalah ialah pemegang LMM yang pada asalnya telah memohon lesen menggunakan dokumen pengenalan diri seperti nombor kad pengenalan lama, nombor Sijil Kelahiran Malaysia (SKM) dan nombor pengenalan diri tentera dan polis.
“Pemegang LMM yang masih menggunakan Lesen Memandu Pasukan iaitu lesen memandu yang dikeluarkan oleh pihak ATM (Angkatan Tentera Malaysia) dan PDRM (Polis Diraja Malaysia), yang masih belum memohon pertukaran kepada LMM;
“Pemegang LMM yang mana nombor kad pengenalannya terdapat kesilapan atau red-flag yang memerlukan semakan lanjut oleh pihak berkuasa yang berkenaan,” kata MOT dalam kenyataan hari ini.
MOT berkata, pihaknya dan JPJ komited sepenuhnya untuk membantu semua warganegara Malaysia yang sah sepertimana di dalam kategori di atas untuk datang ke mana-mana pejabat atau kaunter JPJ bagi membuat permohonan pengemaskinian data LMM.
Katanya, data yang dikemas kini akan dikemukakan kepada pihak Kementerian Kewangan bagi tujuan pengesahan dengan pihak Jabatan Pendaftaran Negara (JPN)
Jelasnya, sekiranya tiada sebarang isu berbangkit atau red-flag, maklumat individu tersebut akan terus dikemaskini dalam sistem BUDI95.
“Mana-mana pesara tentera ataupun polis yang masih belum membuat pertukaran Lesen Memandu Pasukan kepada LMM diseru untuk tampil ke mana-mana pejabat JPJ berdekatan dan melaksanakan proses pertukaran sedia ada bagi mengelakkan sebarang isu berbangkit sekaligus dapat menikmati inisiatif BUDI RON95 yang diberi oleh kerajaan,”katanya. – Edisi 9

