PERDANA Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mahukan agar mata pelajaran teras seperti Bahasa Melayu dan Sejarah diutamakan dalam semakan semula Mata Pelajaran Pengajian Utama (MPU).
Menurut beliau, keutamaan tersebut bukan hanya tertumpu kepada institusi pendidikan di bawah kerajaan tetapi juga mencakupi sekolah-sekolah swasta dan antarabangsa.
Untuk itu, beliau menggesa agar Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) mengadakan perbincangan dengan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) bagi pelaksanaanya.
“Saya menyambut baik usaha untuk menambah baik kandungan, bilangan dan pendekatan MPU agar lebih segar, relevan serta berkesan dalam membina nilai kenegaraan dan semangat patriotisme.
“Sebagai langkah awal, saya telah mengarahkan KPT untuk turut berbincang dengan KPM bagi memastikan subjek teras seperti Bahasa Melayu dan Sejarah diutamakan, termasuk di sekolah swasta dan antarabangsa,” katanya hari ini.
Sebelum itu Perdana Menteri diberi taklimat berhubung cadangan semakan semula MPU oleh Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir di Putrajaya hari ini.
Anwar berkata, cadangan itu dirangka hasil libat urus bersama pelbagai pihak termasuk sarjana, universiti awam, MQA, AKEPT, SPRM, Kementerian Pertahanan dan lain-lain melalui kajian keberkesanan serta hala tuju baharu pelaksanaan MPU.
Selain itu, beliau berkata, MPU yang disemak semula tersebut akan diperluas pelaksanaannya bukan sahaja di universiti awam dan swasta, tetapi juga di semua institut latihan di negara kita.
“Usul ini juga akan dibawa ke Jemaah Menteri bagi memperkukuh kesedaran kebangsaan demi melahirkan generasi yang berilmu, berjiwa besar dan cintakan negara,” katanya.
Sementara itu Zambry berkata, semakan semula pengisian mata pelajaran itu amat perlu bagi memastikan ia relevan dan bermanfaat untuk pelajar, sejajar dengan perubaham zaman. — Edisi 9

