KEMENTERIAN Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA) menyatakan sokongan penuh terhadap Deklarasi Kuala Lumpur ASEAN 2045: Masa Depan Bersama, yang bertujuan memperkukuh kesepaduan rantau dalam pelbagai bidang termasuk tenaga, ekonomi dan pembangunan mampan.
Deklarasi yang dimeterai sempena Sidang Kemuncak ASEAN Ke-46 menetapkan visi jangka panjang ASEAN menjelang 2045, berteraskan lima tonggak utama iaitu keterangkuman, kemampanan, keselamatan, kesejahteraan dan daya tahan rantau, bertepatan dengan ulang tahun ke-100 penubuhan blok itu.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof berkata, sejajar dengan matlamat itu, PETRA komited memperkukuh kerjasama serantau dalam sektor tenaga menerusi pelaksanaan pelan tindakan dan inisiatif strategik di bawah Priority Economic Deliverables (PED).
Beliau yang juga Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air berkata, Malaysia akan terus memainkan peranan proaktif dalam usaha mempercepatkan peralihan tenaga ke arah sistem yang lebih bersih dan mampan di rantau ini.
“Malaysia menyokong penuh Deklarasi ASEAN 2045 sebagai landasan strategik membentuk masa depan rantau yang lebih inklusif, mapan dan berdaya tahan.
“Dalam sektor tenaga, kita komited memperkukuh kerjasama dan menyelaras dasar demi memastikan keterjaminan bekalan dan keseimbangan pembangunan,” katanya kenyataan hari ini.
Menurut beliau, pelaksanaan pelan seperti Pelan Tindakan Kerjasama Tenaga ASEAN (APAEC) 2026–2030 akan menjadi hala tuju utama membina sistem bekalan tenaga serantau yang lebih berdaya harap dan inklusif menjelang 2045.
Selain itu, katanya, Memorandum Kerjasama ASEAN Grid Kuasa (APG) akan mempercepatkan usaha integrasi grid elektrik antara negara ASEAN, sekali gus membuka ruang kepada perdagangan tenaga rentas sempadan dan memperluaskan penggunaan tenaga boleh baharu di seluruh rantau.
Fadillah berkata, PETRA turut menyokong pelaksanaan Perjanjian Paip Gas ASEAN (TAGP) dan Perjanjian Keselamatan Petroleum ASEAN (APSA) yang menyediakan kerangka pembekalan bahan api secara progresif, bagi menyokong peralihan kepada sistem tenaga rendah karbon.
“Komitmen ini selari dengan kerangka Malaysia MADANI yang menekankan aspek kemampanan, kesejahteraan dan inovasi dalam pembangunan negara.
“Ia juga mencerminkan semangat solidariti ASEAN dalam menjayakan pembangunan rentas sempadan yang memberi manfaat kepada semua negara anggota,” tambah Fadillah.
Malaysia dijangka terus memainkan peranan penting dalam memacu agenda tenaga serantau, seiring matlamat membentuk Komuniti Ekonomi ASEAN yang lebih mampan, berdaya tahan dan seimbang menjelang tahun 2045.
Deklarasi ASEAN 2045 dimeterai bersama oleh para pemimpin ASEAN yang menghadiri Sidang Kemuncak ASEAN di ibu negara semalam. – Edisi 9

