KERAJAAN sedang meneliti secara serius potensi tenaga nuklear sebagai salah satu sumber tenaga elektrik bersih dan mampan dalam memenuhi keperluan masa depan negara.
Penilaian terancang ini merupakan antara pendekatan strategik susulan pembentangan Rancangan Malaysia Ketiga Belas (RMK-13) oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, yang memberi penekanan kepada kepelbagaian sumber tenaga serta jaminan keselamatan tenaga jangka panjang negara.
Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA) dalam satu kenyataan berkata, kajian yang sedang dilaksanakan bukan sahaja tertumpu kepada aspek kebolehlaksanaan teknologi.
Malahan turut mengambil kira komitmen negara terhadap pengurangan pelepasan karbon serta keperluan untuk mengurangkan kebergantungan kepada bahan api fosil.
Bagi tujuan itu, katanya, MyPower Corporation telah diberi mandat sebagai Nuclear Energy Programme Implementing Organization (NEPIO) bagi menyelaras usaha persediaan tenaga nuklear negara selaras dengan panduan yang ditetapkan oleh Agensi Tenaga Atom Antarabangsa (IAEA).
“Fasa persediaan ini dilaksanakan melalui koordinasi rangka kerja yang teratur, menerusi mekanisme jawatankuasa teknikal merentasi Kementerian dan jabatan/agensi, bagi memastikan pendekatan yang bersepadu dan menyeluruh di peringkat nasional.
“Pelaksanaannya akan berpandukan kepada IAEA Milestone Approach, termasuk aspek pendirian negara, rangka kerja perundangan dan kawal selia, penglibatan pihak berkepentingan dan pembangunan sumber manusia,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Bagaimanapun PETRA berkata, sehingga kini, belum ada sebarang keputusan muktamad berhubung pelaksanaan loji janakuasa nuklear, termasuk jenis teknologi mahupun kapasiti reaktor yang akan digunakan.
“Keutamaan Kerajaan pada masa ini adalah memastikan sebarang pertimbangan pada masa hadapan adalah berpaksikan analisis teknikal yang komprehensif serta selaras dengan keutamaan pembangunan negara dan mematuhi obligasi antarabangsa,” katanya
Langkah ini juga dianggap sejajar dengan aspirasi Malaysia MADANI yang menekankan kepentingan perancangan jangka panjang negara berteraskan ilmu, kemampanan sumber dan kesejahteraan rakyat serta generasi masa depan.
Malaysia sebelum ini pernah meneliti cadangan penggunaan tenaga nuklear, namun usaha tersebut dihentikan berikutan keprihatinan awam dan tumpuan terhadap sumber tenaga boleh baharu seperti solar dan hidro.
Bagaimanapun, dengan peningkatan permintaan tenaga serta keperluan untuk mengurangkan jejak karbon negara, tenaga nuklear kembali menjadi pilihan yang dipertimbangkan secara serius. — Edisi 9

