KERAJAAN membuat keputusan mengecualikan kutipan caj 1.6 peratus Kumpulan Wang Tenaga Boleh Baharu (KWTBB) bagi tarif elektrik daripada program tenaga boleh baharu bermula 1 Ogos.
Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA) berkata, pengecualian itu bagi bekalan elektrik hijau yang diperoleh pengguna daripada tenaga boleh baharu (TBB) sedia ada di bawah kementerian tersebut.
Katanya, ini termasuk Program Green Electricity Tariff (GET), Program Corporate Renewable Energy Supply Scheme (CRESS) dan Program Community Renewable Energy Aggregation Mechanisme (CREAM).
Menurut PETRA, langkah tersebut diambil susulan jadual tarif elektrik baharu yang berkuat kuasa mulai 1 Julai lalu.
“Dengan ketetapan serta penambahbaikan ini, PETRA berharap ia akan memberikan insentif kepada pengguna terutamanya syarikat korporat dan industri untuk terus menyokong agenda peralihan tenaga negara ke arah mencapai sasaran 70 peratus TBB dalam pembekalan elektrik negara menjelang tahun 2050.
“Usaha ini juga diharap akan menjadi pemangkin kepada pertumbuhan industri TBB negara yang lebih progresif dan positif, seraya memenuhi tanggungjawab kepada generasi masa kini dan akan datang, sejaja dengan prinsip utama Malaysia MADANI,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Untuk rekod, kutipan KWTBB daripada tarif elektrik pengguna telah diperkenalkan sejak 2011, sebagai dana untuk memangkin pertumbuhan pembangunan tenaga boleh baharu di negara ini.
Pelaksanaannya melalui mekanisme tarif galakkan atau Feed-in Tariff (FiT) oleh Pihak Berkuasa Pembangunan Tenaga Lestari (SEDA) Malaysia.
PETRA berkata, sejak pelaksanaan mekanisme FiT, kapasiti tenaga boleh baharu teragih dalam sistem pembekalan elektrik negara terutamanya daripada sumber solar telah meningkat secara mendadak iaitu daripada 5MW pada tahun 2011 kepada 5,100MW pada masa ini.
“Pada masa yang sama, program FiT ini juga telah berjaya meningkatkan komposisi pembekalan elektrik daripada sumber biogas, biojisim dan hidro kuasa kecil kepada 855MW,” katanya. — Edisi 9

