Wednesday, July 22, 2026

KKDW akui kelemahan laksana TTPKT, tiada implikasi kewangan

KKDW komited sebarang usaha untuk menambah baik SOP dan garis panduan berkaitan TTPKT dan telah melaksanakannya berdasarkan garis panduan yang ditetapkan oleh MOF.

Mesti Baca

KEMENTERIAN Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) mengakui wujud kelemahan pihaknya dalam pelaksanaan Tender Terbuka Pra-Kelayakan Terpilih (TTPKT) memandangkan ia adalah kaedah rintis, justeru tidak lari daripada kesalahan dan kesilapan.

KKDW dalam kenyataan berkata, kementerian itu akur terdapat beberapa penambahbaikan yang perlu dibuat berdasarkan dapatan pengauditan yang dijalankan oleh Jabatan Audit Negara (JAN) sepertimana Laporan Ketua Audit Negara (LKAN) bilangan 2/2025 yang dibentang di Dewan Rakyat Isnin lalu.

“Namun begitu, kementerian berpandangan bahawa dapatan pengauditan tersebut tidak menjurus kepada sebarang implikasi kewangan atau kerugian kepada kerajaan,” kata kenyataan itu hari ini.

Dalam LKAN 2/2025 yang dibentangkan di Dewan Rakyat itu mendedahkan beberapa kelemahan serius dalam pengurusan perolehan dan pelaksanaan projek melibatkan tujuh kementerian dengan nilai keseluruhan berjumlah RM48.87 bilion.

Pembentangan laporan itu, yang dibuat selepas mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong, menyorot 22 syor audit terhadap kementerian, jabatan dan syarikat kerajaan yang telah diaudit oleh JAN.

Ketua Audit Negara, Datuk Seri Wan Suraya Wan Mohd Radzi berkata, isu-isu berbangkit dimuat naik dalam Sistem Papan Pemuka Dalam Talian (AG Dashboard) bagi pemantauan berterusan.

KKDW berkata, kementerian itu komited terhadap sebarang usaha untuk menambah baik Prosedur Operasi Standard (SOP) dan garis panduan berkaitan TTPKT dan telah melaksanakannya berdasarkan garis panduan yang ditetapkan oleh Kementerian Kewangan (MoF).

Selain itu, katanya, KKDW juga telah mengadaptasi amalan terbaik daripada Jabatan Kerja Raya (JKR) Malaysia sebagai Jabatan Teknikal utama.

“KKDW mengalu-alukan dan bersetuju dengan syor Ketua Audit Negara sekiranya kerajaan memilih untuk meneruskan kaedah TTPKT ini, penambahbaikan bagi menangani kelemahan sedia ada perlu dibuat.

“KKDW akan terus memastikan setiap perolehan bagi tujuan pembangunan luar bandar dilaksanakan dengan penuh akauntabiliti dan ketelusan dalam pengurusan kewangan awam dan berdasarkan tadbir urus terbaik,” katanya. – Edisi 9

Terkini

Hormati perjanjian pembentukan Kerajaan Perpaduan sehingga PRU-16

SEMUA pihak diminta agar menghormati perjanjian pembentukan Kerajaan Perpaduan peringkat Persekutuan antara Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH)...

Lagi Artikel Berkaitan