Tuesday, July 21, 2026

Pegawai penguat kuasa KLIA disyaki ‘setting counter’ ditahan

Miliki catatan mengandungi empat digit terakhir nombor pasport, yang dipercayai berkaitan dengan aktiviti mengatur laluan keluar masuk individu secara tidak sah

Mesti Baca

SEORANG pegawai penguat kuasa ditahan di Terminal 1, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pagi ini kerana disyaki terlibat dalam kegiatan salah laku setting counter.

Turut dirampas wang tunai berjumlah RM8,391.45, tiga peranti komunikasi, dan beberapa catatan nombor pasport ditemui dalam simpanan pegawai tersebut.

Penahanan dibuat kira-kira 9.20 pagi selepas Unit Pemantau dan Unit Integriti Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (AKPS) mengesan tindakan mencurigakan pegawai terbabit melalui rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di kaunter pemeriksaan masuk.

“Hasil siasatan awal mendapati catatan yang ditemui mengandungi empat digit terakhir nombor pasport, yang dipercayai berkaitan dengan aktiviti mengatur laluan keluar masuk individu secara tidak sah,” kata AKPS dalam kenyataan hari ini.

Pegawai itu pada mulanya diserahkan kepada Unit Integriti AKPS KLIA untuk siasatan dalaman sebelum diserahkan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Selangor untuk tindakan lanjut.

“AKPS memandang serius sebarang bentuk pelanggaran integriti, terutamanya yang melibatkan keselamatan pintu masuk negara, dan akan mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana pegawai yang terlibat,” katanya.

AKPS berkata, agensi itu akan terus memberikan komitmen untuk memperkukuh pemantauan dalaman dan kerjasama antara agensi bagi memerangi salah laku dalam kalangan pegawai. – Edisi 9

Terkini

Hormati perjanjian pembentukan Kerajaan Perpaduan sehingga PRU-16

SEMUA pihak diminta agar menghormati perjanjian pembentukan Kerajaan Perpaduan peringkat Persekutuan antara Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH)...

Lagi Artikel Berkaitan