JABATAN Biokeselamatan (JBK) di bawah Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam (NRES) memeterai kerjasama strategik dengan Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (AKPS) bagi memperkukuh penguatkuasaan Akta Biokeselamatan 2007.
Kerjasama itu antara lain memberi tumpuan terhadap kawalan kemasukan organisma yang diubah suai secara genetik (GMO) di pintu masuk negara, peningkatan latihan pegawai, perkongsian data serta pelaksanaan prosedur kawal selia yang lebih bersepadu.
Timbalan Menteri NRES, Datuk Seri Huang Tiong Sii berkata, sebarang aktiviti melibatkan GMO tidak boleh dijalankan tanpa penilaian risiko yang ketat.
Beliau berkata, langkah itu bagi melindungi lima kepentingan utama iaitu kesihatan manusia, tumbuhan, haiwan, alam sekitar serta kepelbagaian biologi.
“Pendekatan ini selaras dengan Protokol Cartagena mengenai Biokeselamatan sejak tahun 2003.
“Skop perundangan kita adalah menyeluruh merangkumi aktiviti yang dijalankan dalam keadaan terkawal di makmal dan fasiliti pengeluaran melibatkan GMO, ujian lapangan, import dan eksport GMO, pelepasan produk untuk dipasarkan, serta pemantauan dan penilaian terhadap semua aktiviti ini di seluruh Malaysia,” katanya.
Beliau berkata demikian pada Simposium Biokeselamatan 2025 yang turut diadakan majlis pertukaran perjanjian antara JBK dan APKS di Kuala Lumpur hari ini.
Pada majlis itu Ketua Pengarah JBK, Lornie Enggong menandatangani bagi pihak jabatan itu, manakala AKPS diwakili Timbalan Ketua Pengarah, Ismail Mokhtar.
Sementara itu simposium yang bertemakan “Memperkasakan Biokeselamatan untuk Kelestarian Masa Hadapan” turut menghimpunkan pakar dari rantau ASEAN selain United Kingdom bagi membincangkan pendekatan kawal selia, inovasi tempatan dan inisiatif libat urus awam.
Turut diadakan sesi dialog bersama pakar serantau dan global termasuk CropLife Asia, Lembaga Biokeselamatan Negara serta Pertubuhan Makanan dan Pertanian Bangsa-Bangsa Bersatu (FAO).
Dialog tersebut menekankan isu keselamatan makanan, rantaian bekalan global GMO serta hak awam dalam membuat keputusan.
Penganjuran simposium tersebut bukan sahaja menjadi platform perkongsian ilmu dan rangkaian kerjasama melibatkan agensi kerajaan, industri, akademia, penyelidik serta NGO.
Malah diharap mampu meningkatkan kesedaran awam terhadap kepentingan biokeselamatan dalam melestarikan persekitaran negara. – Edisi 9

