AKSI berani anggota Pasukan Tindakan Khas dan Penyelamat (STAR Team) Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) bakal menjadi tarikan utama Program Sua Mesra Kementerian Dalam Negeri (KDN) yang akan berlangsung di Dataran Bandar Baharu, Kedah pada 23 Ogos ini.
Menurut Maritim Malaysia, dalam demonstrasi tersebut, orang ramai berpeluang menyaksikan kecekapan STAR Team melakukan terjunan dari helikopter AS365N3 Dauphin milik Maritim Malaysia ke sungai Bandar Baharu, sebelum menaiki jetski yang sedia menanti di permukaan air.
Katanya, turut dipertontonkan ialah aksi dramatik pasukan perenang penyelamat (rescue swimmer) yang melaksanakan misi menyelamat mangsa di air menggunakan pesawat yang sama.
“Selain pertunjukan Maritim Malaysia, para pengunjung juga bakal menikmati pelbagai perkhidmatan mesra rakyat yang dibawakan oleh agensi di bawah KDN,” kata agensi itu dalam kenyataan hari ini.
Antara yang menjadi tumpuan ialah tawaran pengurangan kadar kompaun saman trafik Polis Diraja Malaysia (PDRM), perkhidmatan kaunter Jabatan Imigresen Malaysia, kemudahan bas MEKAR Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) serta khidmat nasihat berkaitan Scam Alert, PDRM.
Masyarakat tempatan turut berpeluang menyertai pelbagai aktiviti yang dekat dengan kehidupan harian seperti Jom Exchange Al-Quran, jualan produk Jabatan Penjara Malaysia dan AADK, khidmat gunting rambut percuma oleh abang RELA, selain persembahan meriah pancaragam Maritim Malaysia.
Penganjuran program Sua Mesra bukan sahaja menjadi jambatan mempererat hubungan antara rakyat dengan agensi keselamatan negara, malah membuktikan usaha berterusan kerajaan dalam menyantuni masyarakat melalui penglibatan langsung di lapangan.
Majlis Sua Mesra di Bandar Baharu ini dijangka akan disempurnakan oleh Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, bersama Ketua Setiausaha KDN, Datuk Awang Alik Jeman serta barisan ketua jabatan di bawah kementerian.
Program akan berlangsung dari pukul 8 pagi hingga 5 petang dan terbuka kepada semua, masuk adalah percuma.

