AGENSI Kawalan dan Perlindungan Sempadan (AKPS) memandang serius tindakan pengguna platform Tiktok yang memuat naik video palsu yang dihasilkan melalui teknologi kecerdasan buatan (AI) atau deepfake melibatkan Ketua Pengarahnya, Datuk Seri Mohd Shuhaily Mohd Zain.
AKPS dalam kenyataannya menegaskan, penghasilan dan penyebaran video oleh pemilik akaun “Hermono Kedutaan” merupakan cubaan berniat jahat yang menjatuhkan imej, mencemarkan reputasi dan menjejaskan integriti Mohd. Shuhaily dengan tujuan memanipulasi serta mengelirukan orang ramai.
Sehubungan itu, orang ramai dinasihatkan agar tidak terpengaruh dan sentiasa waspada dengan kandungan yang disiarkan.
“Orang ramai juga dinasihatkan untuk tidak menyebarkan video tersebut. Tindakan menyebar kandungan palsu merupakan satu kesalahan di bawah Akta Komunikasi dan Multimedia 1998,” kata AKPS dalam nada amaran.
Walaupun kemajuan teknologi AI amat dialu-alukan, kata AKPS, penyalahgunaannya secara tidak beretika untuk tujuan memfitnah dan menjatuhkan maruah individu adalah satu tindakan yang tidak boleh diterima sama sekali.

AKPS memandang serius perbuatan tidak bertanggungjawab ini dan menegaskan bahawa tindakan undang-undang yang sewajarnya akan diambil terhadap individu atau mana-mana pihak yang terlibat dalam penghasilan serta penyebaran video palsu ini.
Selain Mohd Shuhaily, akaun Tiktok itu juga menggunakan bekas Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador secara deepfake untuk dijadikan bahan promosi perkhidmatannya.
Sementara itu rata-rata netizen menggesa pihak berkuasa serta Mohd Shuhaily sendiri mengambil tindakan tegas terhadap pemilik kandungan tersebut yang dianggap sudah melampau. – Edisi 9

