Monday, July 20, 2026

KKDW tekad jadikan desa benteng kekuatan bangsa – Zahid

Bulan kemerdekaan tahun ini mengingatkan rakyat bahawa perjuangan bangsa tidak pernah berhenti, biarpun bentuk penjajahan sudah berubah.

Mesti Baca

DESA bukan lagi boleh dipandang sebagai pinggiran pembangunan, sebaliknya bakal menjadi nadi kekuatan bangsa jika dibangunkan dengan tekad dan strategi jelas, tegas Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW), Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.

Beliau berkata, bulan kemerdekaan tahun ini mengingatkan rakyat bahawa perjuangan bangsa tidak pernah berhenti, biarpun bentuk penjajahan sudah berubah.

“Jika dahulu penjajah datang dengan senapang dan kapal perang, hari ini kolonialisme baharu hadir dalam bentuk ekonomi, budaya dan teknologi. 

“Andai kita leka, desa akan menjadi sasaran paling rapuh. Tetapi jika kita bangkit, insya-Allah desa mampu berdiri sebagai benteng paling kukuh,” katanya ketika berucap pada Majlis Perhimpunan Bulanan KKDW di Putrajaya, hari ini.

Hadir sama Timbalan Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah, Datuk Rubiah Wang.

Menurut Zahid, pembangunan desa pada masa kini tidak lagi terhad kepada pembinaan jalan atau penyediaan infrastruktur semata-mata.

Sebaliknya, kata beliau, ia merangkumi usaha mengecilkan jurang bandar dan luar bandar dengan memperluas laluan TVET, memperkasa usahawan desa, mendigitalkan peluang serta memastikan pendidikan menyeluruh sampai ke akar umbi.

“Semua ini demi menjadikan anak desa mampu berdiri sama tinggi, duduk sama rendah dengan anak kota,” jelasnya.

Beliau turut menzahirkan rasa syukur kerana pelbagai inisiatif KKDW sudah menunjukkan hasil positif. 

Antaranya, kejayaan penganjuran Karnival Mega 3 Dimensi yang mencatat jualan tunai RM16.2 juta serta padanan perniagaan berjumlah RM331 juta.

Katanya, bulan ini pula KKDW akan melancarkan IKONDESA@Putrajaya sebagai mercu tanda baharu untuk mengangkat jenama Produk Desa, Citarasa Dunia.

“Insya-Allah, KKDW akan terus memikul amanah ini dengan penuh tekad. Inilah perjuangan kami, memastikan desa kekal sebagai nadi kekuatan bangsa,” tambahnya. — Edisi 9

Terkini

AMH desak menteri, timbalan menteri BN letak jawatan

SEMUA menteri dan timbalan menteri dari Barisan Nasional (BN) didesak meletakkan jawatan masing-masing susulan tindakan parti itu yang secara...

Lagi Artikel Berkaitan