BEGITULAH pengorbanan pegawai dan anggota Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) dalam menjaga keselamatan perairan negara, tanpa mempedulikan ribut dan taufan atau segala bahaya yang menanti.
Melihat sendiri kesungguhan para kru yang bertugas dalam kapal ronda KM Nusa di Selat Melaka baru-baru ini, penulis kagum dengan pengorbanan mereka, bukan sahaja sedia bertugas di lautan selama berhari-hari ini meninggalkan keluarga.
Malahan kesiapsiagaan mereka berdepan segala ancaman yang tidak terduga sepanjang bertugas yang kadang kala, nyawa dan raga menjadi taruhan.
Timbalan Pengarah Operasi Maritim Malaysia Negeri Perak, Komander Maritim Tan Ah Bik berkata, bot ronda KM Nusa mempunyai kekuatan 12 anggota perlu menggalas tanggungjawab mengawal kawasan perairan sehingga ke sempadan Indonesia.
Selain berdepan cabaran cuaca buruk, bot nelayan asing yang menceroboh serta risiko operasi menyelamat mangsa hanyut di laut sentiasa ada.

“Keselamatan anggota adalah keutamaan, tapi dalam masa sama kita tidak boleh berkompromi dengan kedaulatan negara,” katanya ketika operasi ronda KM Nusa di perairan Pulau Pangkor baru-baru ini.
Kata beliau, ancaman utama di perairan tersebut adalah sindiket penyeludupan manusia yang mengenakan bayaran RM2,000 hingga RM3,000 untuk membawa masuk setiap migran menerusi perairan negara.
“Risikonya sangat besar, bot kecil yang sarat dengan penumpang boleh terbalik bila-bila masa, dan itu menimbulkan kos nyawa yang amat tinggi,” katanya.

Bagi Pegawai Waren II Nor Adzman Jamil, 20 tahun bertugas di lautan bersama Maritim Malaysia ditambah 12 tahun bersama Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) sebelumnya memberi banyak pengalaman.
Menceritakan pengalamannya, beliau masih ingat bagaimana bot mereka dikepung oleh kapal ronda negara asing tanpa bantuan.
“Ketika itu kami tidak dapat berbuat apa-apa, TLDM dan bot ronda lain tidak dapat membantu,” katanya mencerita pengalamannya.

Beliau turut menceritakan bagaimana mereka berdepan dengan ribut Taufan Gred yang melanda Filipina, kesannya sehingga ke perairan Sabah, sekali gus menjadi antara pengalaman yang menakutkan.
“Taufan tak taufan, ronda tetap diteruskan,” kata juragan yang cekap mengemudi bot ronda memasuki pengkalan atau laluan perairan yang mencabar.
Bagi Ah Bik, tugas menjaga keselamatan perairan negara tidak hanya terletak di bahu Maritim Malaysia semata-mata, tetapi juga seluruh rakyat Malaysia.

Ini kerana, ia adalah amanah bersama dan rakyat Malaysia mesti bersatu, saling membantu dan kekal patriotik kerana itulah makna sebenar kemerdekaan.
Begitulah peranan dan tanggungjawab Maritim Malaysia dalam menjaga keamanan dan keselamatan perairan negara dan sempena bulan kemerdekaan ini, semangat patriotik terus tersemat di setiap dada pegawai dan anggota Maritim Malaysia. – Edisi 9

