Wednesday, June 17, 2026

Laporan Ketua Audit Negara dedah tiga ketakteraturan serius

Termasuk kelemahan tatakelola FELCRA Berhad dalam perolehan pajakan empat ladang sawit di Sabah dan Kelantan membabitkan nilai RM241.76 juta dari 2022 hingga 2024.

Mesti Baca

LAPORAN Ketua Audit Negara (LKAN) Siri 2 Tahun 2025 yang dibentangkan di Dewan Rakyat hari ini mendedahkan beberapa kelemahan serius dalam pengurusan perolehan dan pelaksanaan projek melibatkan tujuh kementerian dengan nilai keseluruhan berjumlah RM48.87 bilion.

Pembentangan laporan itu, yang dibuat selepas mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong, menyorot 22 syor audit terhadap kementerian, jabatan dan syarikat kerajaan yang telah diaudit oleh Jabatan Audit Negara (JAN).

Antara ketidakteraturan utama yang dikesan termasuk kelemahan tatakelola FELCRA Berhad dalam perolehan pajakan empat ladang sawit di Sabah dan Kelantan membabitkan nilai RM241.76 juta dari 2022 hingga 2024.

Sementara itu, tiga tender Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) berjumlah RM58.45 juta diluluskan walaupun tidak mendapat syor daripada jawatankuasa teknikal, kewangan dan pratender.

Manakala Tentera Darat Malaysia pula belum mengutip denda berjumlah RM162.75 juta daripada syarikat pembekal GEMPITA yang lewat membekal, selain denda RM1.42 juta belum dikenakan atas kelewatan servis alat ganti manakala perolehan perkhidmatan bernilai RM107.54 juta turut dilaksanakan secara pecah kecil.

Ketua Audit Negara, Datuk Seri Wan Suraya Wan Mohd Radzi berkata, isu-isu berbangkit akan dimuat naik dalam Sistem Papan Pemuka Dalam Talian (AG Dashboard) bagi pemantauan berterusan.

“Melalui pindaan Akta Audit 1957 (Akta 62) yang diluluskan tahun lalu, Ketua Audit Negara kini mempunyai kuasa menyusuli tindakan lanjut terhadap semua penemuan dan syor yang dikemukakan dalam LKAN,” katanya dalam kenyataan rasmi hari ini.

Sementara itu beliau berkata, JAN berjaya membantu kerajaan memulihkan semula RM157.73 juta melalui pelbagai tuntutan seperti penalti, tunggakan sewa, pajakan tanah dan duti cukai dalam tempoh 2024 hingga Jun tahun ini.

Katanya, satu pendekatan audit baharu, iaitu ‘Follow The Public Money Audit’, turut diperkenalkan bagi menjejaki aliran dana awam termasuk dalam syarikat swasta yang mendapat jaminan kewangan kerajaan.

Dalam pada itu, laporan juga menegur kelemahan pelaksanaan Program Minyak Masak Bersubsidi, termasuk ketiadaan mekanisme agihan kepada golongan sasar serta tindakan penguatkuasaan yang lemah walaupun kuota dikurangkan sejak 2016.

Selain itu, Audit menasihatkan kaedah Perolehan Tender Pra-Kelayakan Terpilih (Pre-Q) dihentikan kerana wujud ruang manipulasi pemilihan syarikat dan ketidakpatuhan terhadap prosedur.

“Adalah lebih sesuai kaedah tender terbuka dikekalkan bagi menjamin ketelusan dan akauntabiliti,” tegasnya. — Edisi 9

Terkini

Pemimpin korporat perlu kuasai AI, elak ketinggalan

PEMIMPIN korporat di Malaysia perlu segera menguasai dan memanfaatkan kecerdasan buatan (AI) dalam operasi harian organisasi bagi memastikan mereka...

Lagi Artikel Berkaitan