Thursday, July 23, 2026

Komen jelik melampau, individu dipanggil ‘menghadap’ MCMC

Elakkan penyebaran kandungan jelik melampau, hasutan atau fitnah yang boleh menjejaskan keharmonian dan ketenteraman negara, khususnya yang melibatkan institusi diraja - MCMC

Mesti Baca

SEORANG individu dipanggil untuk memberi keterangan kepada Suruhanjaya Multimedia Malaysia (MCMC) kerana membuat komen jelik melampau terhadap institusi diraja berkaitan pelantikan Ketua Hakim Negara menerusi media sosial.

MCMC berkata, pihaknya telah merakam keterangan individu terbabit hari ini di Balai Polis Kampung Melayu Subang, Selangor. 

“Turut disita, satu unit telefon bimbit dan satu kad SIM bagi membantu siasatan,” kata MCMC dalam kenyataan hari ini.

MCMC berkata, siasatan dijalankan di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 [Akta 588], yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM500,000 atau penjara sehingga dua tahun, atau kedua-duanya, jika disabitkan kesalahan.

Sehubungan itu, MCMC menyeru orang ramai agar sentiasa menggunakan platform media sosial secara beretika, berhemah dan bertanggungjawab.

“Elakkan penyebaran kandungan jelik melampau, hasutan atau fitnah yang boleh menjejaskan keharmonian dan ketenteraman negara, khususnya yang melibatkan institusi diraja,” katanya.

Dua hari lalu, MCMC turut menjalankan siasatan terhadap kandungan palsu menyentuh institusi diraja yang dimuat naik oleh seorang individu menerusi akaun Facebook miliknya.

MCMC berkata, kandungan tersebut dipercayai mengandungi dakwaan palsu kononnya Majlis Raja-Raja telah membuat keputusan awal berhubung pelantikan Ketua Hakim Negara.

“Dakwaan tersebut telah mengelirukan orang ramai dan menjejaskan integriti sistem perundangan negara, serta kewibawaan Institusi Diraja,” kata MCMC seperti dilapor media ini.

Untuk rekod, isu pelantikan Ketua Hakim Negara sebelum ini mencetuskan polemik apabila pelbagai membantah campur tangan Perdana Menteri berhubung pelantikan tersebut.

Bagaimanapun, berdasarkan Fasal (1) Perkara 122B Perlembagaan Persekutuan, Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong boleh melantik mana-mana yang diperkenankan sebagai Ketua Hakim Negara atas nasihat Perdana Menteri dan selepas berunding dengan Majlis Raja-Raja.

Atas perkara tersebut, Seri Paduka Baginda telah berkenan untuk melantik Hakim Mahkamah Rayuan, Datuk Wan Ahmad Farid Wan Salleh sebagai Ketua Hakim Negara yang baharu.

Pelantikan itu bagi menggantikan Tun Tengku Maimun Tuan Mat yang bersara wajib pada 2 Julai lalu selepas memegang jawatan Ketua Hakim Negara selama enam tahun, sekali gus menamatkan spekulasi berhubung pelantikan jawatan tersebut. — Edisi 9

Terkini

Hormati perjanjian pembentukan Kerajaan Perpaduan sehingga PRU-16

SEMUA pihak diminta agar menghormati perjanjian pembentukan Kerajaan Perpaduan peringkat Persekutuan antara Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH)...

Lagi Artikel Berkaitan