SURUHANJAYA Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) terus mengambil tindakan tegas terhadap penyebaran maklumat palsu terutama berkaitan harga bahan api dan tarif elektrik.
Terbaharu 17 lagi individu disiasat kerana disyaki telah menyebarkan maklumat berunsur palsu mengenai kenaikan harga bahan api dan tarif baharu elektrik yang tular di platform media sosial.
Menurut suruhanjaya itu, sehingga hari ini, sebanyak lapan rakaman percakapan suspek yang terlibat telahpun selesai, termasuk lima kes hantaran berunsur palsu berkaitan isu kenaikan harga bahan api.
“Daripada lima kes tersebut, tiga suspek telah dirakam percakapan sebelum ini dan semalam baki dua lagi telah selesai dirakam percakapan,” kata kenyataan MCMC hari ini.
Sementara itu, MCMC berkata, terdapat tiga kes berkaitan tarif baharu elektrik manakala baki sembilan lagi suspek sedang dalam proses pemantauan lanjut dan akan dipanggil untuk rakaman percakapan dalam masa terdekat.
Katanya, siasatan dijalankan di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (Akta 588) yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM500,000 atau penjara sehingga dua (2) tahun, atau kedua-duanya sekali, jika disabitkan kesalahan.
“MCMC memandang serius sebarang penyalahgunaan platform media sosial yang bertujuan untuk mengelirukan orang ramai dengan penyebaran maklumat palsu.
“Penyebaran maklumat-maklumat palsu ini boleh menimbulkan suasana panik dan kegelisahan kepada pengguna.
“Tindakan tegas akan dikenakan terhadap mana-mana individu yang didapati melanggar undang-undang sedia ada,” katanya.
Semalam, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengarahkan Polis Diraja Malaysia (PDRM) serta MCMC mengambil tindakan tegas terhadap penyebaran berita palsu berkaitan harga bahan api dan elektrik yang dikesan semakin berleluasa.
Menurut beliau, sehingga kini MCMC telah mengesan sebanyak 96 kandungan berita palsu berkaitan isu tersebut menerusi media sosial.
“Penyebaran maklumat tidak benar itu berlaku ketika negara berdepan cabaran luar biasa susulan krisis tenaga global sekali gus boleh menjejaskan kestabilan dan mengelirukan rakyat,” katanya. — Edisi 9

