SEBANYAK 14,210 unit lampu jalan kampung (LJK) di bawah program LJK tahun 2022 fasa 11 di Semenanjung dan Sabah siap lebih awal daripada jangkaan.
Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) berkata, program pemasangan LJK itu menggunakan peruntukan daripada RM150 juta di bawah Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12).
Menurut KKDW, di bawah fasa 11 tersebut, sebanyak 12,300 LJK dipasang di Semenanjung manakala 1,910 unit LJK di Sabah.
Katanya, kesemua unit LJK bagi projek itu menggunakan lampu jenis light emitting diode (LED) 75 watt yang dipasang di atas tiang-tiang elektrik sedia ada milik Pihak Berkuasa Elektrik Negeri (PBEN).
“Program pemasangan LJK fasa 11 ini telah dilaksanakan pada 30 Mei 2023 dan selesai pada 25 Oktober 2024.
“Projek dapat disiapkan 36 hari lebih awal daripada tempoh tamat kontrak pada 29 November 2024 oleh kontraktor yang dilantik,” kata KKDW dalam kenyataan hari ini.
Projek LJK fasa 11 itu diserahkan kepada Tenaga Nasional Berhad (TNB) dan Sabah Electricity bagi penyelenggaraan yang mana majlis penyerahannya berlangsung di Putrajaya hari ini.
Pada majlis itu Ketua Setiausaha KKDW, Datuk Mohd Khair Razman Mohamed Annuar menyerahkan kepaea Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif TNB, Datuk Ir Megat Jalaludfin Megat Hassan bagi LJK di Semenanjung.
Manakala bagi LJK di Sabah pula diserahkan kepada Ketua Pegawai Eksekutif Sabah Electricity, Ir Ts Mohd Yaakob Jaafar.
KKDW berkata, sehingga kini, jumlah keseluruhan LJK yang telah dipasang di seluruh kawasan desa seluruh negara adalah sebanyak 525,081 unit.
“Kesemua LJK yang telah siap dipasang akan diserahkan kepada PBEN iaitu TNB di Semenanjung Malaysia, Sabah Electricity di Sabah dan Sarawak Energy Berhad di Sarawak untuk dioperasi dan diselenggara.
“KKDW komited untuk memastikan LJK yang telah siap akan sentiasa beroperasi dimana kos operasi dan selenggara akan dibiayai oleh KKDW secara berterusan,” kata KKDW. – Edisi 9