JARINGAN akrobatik Alejandro Garnacho ketika menentang Everton dalam perlawanan Liga Perdana Inggeris musim lalu dinobat sebagai pemenang Anugerah Puskas Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) tahun ini.
Dalam perlawanan di Goodison Park pada November tahun lalu, Garnacho menerima bola hantaran lintang dari Diogo Dalot dan kemudian membuat sepakan gunting.
Sepakan tersebut berjaya menerjah jaring mengatasi penjaga gol, Jordan Pickford, sekali gus membantu Manchester United meraih kemenangan berdepan kelab tersebut.
Kejayaan pemain kebangsaan Argentina tersebut meraih anugerah itu menjadikan beliau pemain kedua daripada The Red Devils yang merangkul trofi berprestij tahunan berkenaan.
Pemenang Ballon d’Or sebanyak lima kali, Cristiano Ronaldo, merupakan individu terakhir memenangi gelaran tersebut buat Manchester United pada 2009.
Gol jaringan Garnacho meraih undian tertinggi mengatasi Yassine Benzia di tempat kedua dan Denis Omedi di tempat ketiga. – Agensi