24.6 C
Kuala Lumpur
Friday, April 26, 2024

Politik Mahathir untungkan DAP

Mesti Baca

Zulkiflee Bakar
Zulkiflee Bakar
Penulis Khas Edisi 9

TINDAKAN Tun Dr. Mahathir Mohamad mengemukakan usul tidak percaya kepada Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin dan membuat kenyataan bersama dengan Datuk Seri Anwar Ibrahim menolak Kerajaan Perikatan Nasional (PN) tidak akan memberi keuntungan politik kepada mereka.

Kedua-dua pemimpin itu tidak mempunyai kekuatan atau dominan dalam Dewan Rakyat. Dari segi parti, Dr.Mahathir hanya mempunyai tiga sahaja ahli Parlimen bersama beliau manakala Anwar pula mempunyai 40 ahli Parlimen.

Parti yang betul-betul dominan dan berkuasa di Dewan Rakyat dalam blok pembangkang ialah DAP. Parti itu mempunyai 42 kerusi manakala Amanah (11 kerusi), Parti Warisan Sabah (9 kerusi) dan UPKO (1 kerusi).

Sebab itulah ketika Mahathir dan Anwar kembali ‘bergabung’ menyerang kerajaan Muhyiddin, DAP tidak bercakap banyak.

Ia kerana mereka tahu dalam keadaan apa sekalipun dominasi parti itu dalam pembangkang tidak akan tergugat dan mereka mempunyai kuasa yang hebat jika PH kembali berkuasa.

Pemerintahan PH selama 22 bulan sudah menjadi bukti. Kita menyaksikan terlalu banyak perbuatan yang dianggapkaduk naik junjung’ dan kera dapat bunga’.

Dan situasi ini tidak mustahil akan berulang lagi jika PH kembali memerintah. Tetapi Mahathir tidak peduli.

Walaupun pemimpin-pemimpin Bersatu mendedahkan bagaimana sikap PKR dan DAP terhadap bekas Perdana Menteri itu ketika mereka dalam kerajaan, Mahathir masih tetapi mahu bersama dengan kedua-dua parti tersebut kerana dendam politiknya kepada Muhyiddin.

Oleh itu kita tidak perlu terkejut atau berasa hairan apabila Mahathirkembali ‘bergabung’ dengan Anwar kerana kalaulah dengan DAP pun beliau sanggup ‘sembah’ semata-mata untuk menumbangkan Kerajaan BN, apalah sangat kembali berbaik-baik dengan Anwar.

Mungkin agak keterlaluan tetapi orang menganggap Mahathir mengamalkan politik matlamat menghalalkan cara.

Bagaimanapun dalam percaturan kali ini Mahathir terlupa, situasi sekarang berbeza sebelum Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) – ketika itu rakyat khususnya orang Melayu turut termakan dengan pelbagai isu melumuri Kerajaan BN khususnya 1MDB.

Isu tersebut telah dimanipulasikan habis-habisan oleh PH untuk meraihkan sokongan rakyat dengan menggambarkan BN terutamanya UMNO mengamalkan rasuah.

PH menggambarkan kepada rakyat ketika itu, merekalah ‘lelaki kiriman tuhan’ – maka berpusu-pusu rakyat pulang ke kampung masing-masing, beratur berjam-jam di pusat-pusat mengundi dan menghabiskan beratus ringgit demi untuk meletakkan pakatan itu di puncak kekuasaan.

Advertisements

Bagaimanapun selepas 22 bulan, Mahathir yang menjadi Perdana Menteri tertua di dunia bagaikan tiada kuasa, beliau dilihat lebih banyak mengikut telunjuk dan gerak politik PKR serta DAP. Walaupun Mahathir menafikannya tetapi rakyat tidak lagi mudah terperdaya seperti sebelum PRU-14.

Kini selepas menjatuhkan BN, Mahathir berharap kononnya beliau yang dianggap ‘Sifu Politik’ akan menjatuhkan pula Kerajaan PN. Kalau ia berlaku maka lengkaplah tiga kerajaan tumbang angkara beliau.

Untuk rekod, Kerajaan PH jatuh kerana Mahathir letak jawatan dan bubar Kabinet. Sama ada beliau akan berjaya atau tidak menjatuhkan Muhyiddin, hanya masa akan menentukan, tetapi apa yang pasti cengkaman politik Mahathir sudah semakin longgar.

Beliau bukan lagi tokoh yang dihormati atau digeruni oleh kawan dan lawan.  Dalam Bersatu, pengaruh beliau semakin terhakis.

Beberapa ahli Parlimen yang sebelum ini ketika Kerajaan PH begitu lantang mempertahankan beliau kini sudah beralih arah menyokong Muhyiddin.

Anak beliau sendiri di Kedah terumbang-ambing. Nasib Datuk Seri Mukhriz tidak menentu. Muhyiddintekan saja ‘butang’, Mukhriz yang mengidamkan jawatan Presiden Bersatu akan tersungkur dari kerusi Menteri Besar Kedah.

Adakah Mahathir mahu berharap kepada’anak mentah’ dalam politik seperti Syed Saddiq Syed Abd.Rahman?

Kalaulah Mahathir masih mempunyai sokongan majoriti dalam Bersatu khususnya Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) kenapakah tidak ada mana-mana MPK membuat kenyataan secara bersama menyokong beliau dan menolak Muhyiddin?

Yang kita baca hanya kenyataan Setiausaha Agung Bersatu yang dipecat, Datuk Marzuki Yahya.

Dan dari sokongan parti lain, Mahathir mungkin mendapat sokongan padu Warisan diketuai Datuk Seri Mohd.Shafie Apdal. Itu hanya sembilan kerusi Parlimen.

Jika semua ini mahu diambil kira, terbukti Mahathir tiada apa-apa lagi kekuatan. Kalau pun PKR dan DAP bekerjasama dengan beliau, ia sekadar demi kepentingan politik semata-mata.

Dengan apa yang dilakukan oleh Mahathir terhadap Kerajaan PH sebelum ini, penulis percaya pasti ada‘dendam yang terindah’ mereka kepada beliau.

Akhirnya, DAP juga untung! Dan tidak mustahil, Mahathir akan menamatkan karier politiknya dalam keadaan memalukan! – Edisi 9

Advertisements

Terkini

Khairul Azhari calon PN bagi PRK Kuala Kubu Baharu – Muhyiddin

PEMANGKU Ketua Bahagian Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Hulu Selangor, Khairul Azhari Saut diumumkan sebagai calon Perikatan Nasional (PN)...

Lagi Artikel Berkaitan