30.7 C
Kuala Lumpur
Friday, January 24, 2025

Hampir ‘hilang darah’ di San Diego

Mesti Baca

Lukman Ismail
Lukman Ismail
Berkecimpung lebih 30 tahun dalam dunia kewartawanan bersama media arus perdana. Keutamaan dalam penulisan berkaitan politik, sukan dan teknologi maklumat.
[SIRI CERITERA SANG PENCERITA – BAHAGIAN 6]

SERONOK jadi wartawan boleh ke luar negeri dengan semua dibayarkan, bak kata seorang kawan “untunglah kau dapat melancong tak keluarkan wang” tapi dia lupa aku pergi kerana tugasan.

Dari Tokyo, ke Oslo kemudian ke Orlando, dapat juga melihat tempat-tempat tersohor. Thailand, Kemboja dan Vietnam turut diberi peluang untuk iringi lawatan pemimpin dan negarawan.

Negara Singapura paling kerap aku kunjungi, hampir setiap minggu ada sahaja jemputan yang diberi. Kadang pergi pagi, menjelang petang sudah kembali. Dah rasa macam negara kedua kami.

Walaupun lapangan terbang di Subang, tapi acap kali juga aku terlepas penerbangan. Pernah sekali sudah separuh jalan, sekali baru sedar pasport aku tinggalkan terpaksalah tugasan di negara jiran aku lupakan.

Bila airport berpindah ke Sepang, aku mula tolak tawaran kerana fikir pergi buat liputan tapi banyak pakai wang, sedangkan elaun luar negara, syarikat kena dahulukan. Belum kira masa yang habis di tengah jalan dan naik kapal terbang, turun kapal terbang.

Ke Amerika Syarikat, dua kali aku diberi peluang, itu pun semua atas tajaan. Alhamdulillah, rezeki takkan kita nak tolak ke belakang.

Kali pertama tahun 2000, masa itu kecoh dengan permulaan alaf baharu. Liputan persidangan tentang teknologi maju di tengah Disneyland Orlando membuatkan aku terharu.

NEGARA Mexico yang dapat dilihat dari Factory Outlet San Diego, California, Amerika Syarikat. Pusat membeli belah ini terletak di sempadan kedua-dua negara. - Foto: Lukman Ismail
NEGARA Mexico yang dapat dilihat dari Factory Outlet San Diego, California, Amerika Syarikat. Pusat membeli belah ini terletak di sempadan kedua-dua negara. – Foto: Lukman Ismail

Masakan tidak tatkala lima taman tema Disney ada di depan mata, tapi itu pun aku tak sempat nak ronda semua, satu-satu taman besar tak terhingga.

Kali kedua lapan tahun kemudian, kali ini ke San Diego, persidangan bioteknologi aku buat liputan. Hampir sahaja aku hilang pas perjalanan, kalau tidak aku dah jadi pendatang haram.

Kisahnya bila beg laptop aku tinggalkan selepas makan di sebuah restoran di pinggir jalan. Bila sedar aku kembali datang, diberitahu pelayan beg aku tidak kelihatan.

Hilang darah di muka kerana pasport pun ada di situ, kalau betullah pelayan tak tahu maka tersadailah aku di negeri itu.

Rupanya pelayan cuma buat gurauan, laptop aku elok disimpan, terima kasih banyak-banyak aku ucapkan kalau tidak habislah aku tak boleh pulang.

Negeri Mexico di seberang sempadan tinggal melangkah untuk menyeberang, kami semua sudah memasang impian, habis acara kita semua ke seberang tapi dihalang orang tempatan katanya banyak kes culik nanti kami semua tak pulang-pulang.

Advertisements

Dengar demikian kami batalkan hasrat takut juga kami diculik para penjahat sudahlah kami semua sepakat hanya shopping di Factory Outlet yang dari situ, Mexico dapat dilihat.

Tahun 2004 terbang ke Oslo, melawat pejabat Telenor tajaan syarikat telekomunikasi termasyhur. Awal-awal dah berdepan cabaran, pesawat sepatutnya bawa kami batalkan penerbangan.

Saat akhir tukar tiket, naik KLM singgah di Paris untuk transit. Empat jam tersadai di lapangan terbang, mendapatkan penerbangan ke destinasi tujuan.

Tiba di Norway nampak semuanya okay, tapi rupanya bagasi kami tak sampai-sampai. Puas menunggu hingga naik longlai rupanya bagasi kami masih tersadai.

Pihak penganjur baik hati, tak sanggup tengok pakaian tak berganti, dibawa ke kedai dibuka khas untuk kami, pilihlah pakaian yang mahu dibeli nanti semua bil masuk akaun Digi.

“Seronok juga shopping free, kalau boleh dapat setiap hari,” kata Husein Jahit senang hati. Aku pilih mana yang perlu walhal ikut hati semua nak sapu. Kesian juga kepada penganjur, dibawa ke Norway dah patut bersyukur.

KALI pertama penulis berpeluang menyaksikan perlawanan sumo secara langsung ketika membuat liputan berita di Tokyo, Jepun. - Foto: Lukman Ismail
KALI pertama penulis berpeluang menyaksikan perlawanan sumo secara langsung ketika membuat liputan berita di Tokyo, Jepun. – Foto: Lukman Ismail

Di negara Balkan kami dibawa berjalan, menyelusuri fjord sampai ke Bergen. Seronok tengok keindahan alam ciptaan Tuhan, bukan selalu dapat peluang.

Tahun 2011 Proton pula bawa ke London. Nak melawat kilang Lotus empunya cerita. Kena pula musim dingin baru nak tiba, cuaca sejuk tidak terhingga, sampai telinga pun macam tiada.

Kilang Lotus terletak di Norwich, dua jam perjalanan terasa manis, mana tidaknya senyum sampai ke alis bila diberi peluang memandu Elise.

Kereta Lotus mahal-mahal belaka, ada yang sampai RM1 juta, rakan media semua teruja dapat memandu kereta berharga, “kalau di Malaysia memang tak akan merasa.”

Bila pulang isteri bertanya, “dah sampai London melawat ke mana sahaja?” Aku kata, “tak sempat ke mana, keluar pagi balik selepas senja, satu apa pun tak nampak di mata”.

Istana Birmingham, Big Bang dan Sungai Thames hanya dengar cerita sahaja, nak pergi melawat memang tiada masa. Mahu tinggal lebih lama diri tak berani pula, kawan-kawan lain dah pulang semua.

Jepun, Australia, Hong Kong dan China, antara negara yang sempat aku ke sana. Thailand, Kemboja dan Vietnam tidak dilupa, mengiringi lawatan pemimpin negara.

Banyak lagi negara yang aku pergi, tapi cukuplah sebahagian saja yang aku cerita di sini. Bukan apa, takut riak dikata nanti walhal aku nak ceritakan pengalaman peribadi. – Edisi 9

Advertisements

Terkini

Diskaun 50 peratus bayaran tol sempena Tahun Baharu Cina

KERAJAAN hari ini bersetuju untuk memberikan potongan tol 50 peratus daripada kadar  biasa sempena perayaan Tahun Baru Cina 2025,...

Lagi Artikel Berkaitan