Monday, July 20, 2026

Malaysia bidik 47 juta pelancong antarabangsa sempena VM2026

Tahun lalu sahaja, Malaysia menerima 38 juta pelawat antarabangsa, meningkat 31.1 peratus berbanding tahun sebelumnya manakala pelancongan domestik mencecah 260.1 juta pengunjung.

Mesti Baca

TAHUN 2026 bakal menjadi detik penting dalam sejarah pelancongan negara apabila Malaysia sekali lagi tampil sebagai tuan rumah kepada Tahun Melawat Malaysia 2026 (VM2026) dengan sasaran kehadiran 47 juta pelancong antarabangsa.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, kejayaan tersebut bukan sahaja dilihat dari sudut jumlah kedatangan pelancong semata-mata, tetapi juga dari segi nilai perbelanjaan lebih tinggi, tempoh penginapan lebih lama dan limpahan ekonomi yang menyeluruh kepada rakyat.

“Alhamdulillah, sektor pelancongan negara telah menunjukkan pemulihan luar biasa. Tahun lalu sahaja, Malaysia menerima 38 juta pelawat antarabangsa, meningkat 31.1 peratus berbanding tahun sebelumnya.

“Manakala pelancongan domestik mencecah 260.1 juta pengunjung. Angka ini membuktikan Malaysia terus kekal sebagai destinasi pilihan utama dunia,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Kebangsaan Induk Visit Malaysia 2026 (VM2026) Bil. 1/2025 di Putrajaya, hari ini.

Menurut Ahmad Zahid, VM2026 akan memberi fokus kepada usaha memperkukuh promosi pelancongan negara di pasaran antarabangsa, selain membuka laluan baharu dengan kerjasama syarikat penerbangan serta agensi pelancongan.

“Malaysia mempunyai pelbagai keunikan untuk diketengahkan – daripada ekopelancongan, tarikan beli-belah, sehingga ke acara bermusim yang mampu menarik pelancong kembali berkunjung berkali-kali. Kita mahu pastikan Malaysia terus menjadi pilihan nombor satu pelancong serantau dan antarabangsa,” ujarnya.

Selain itu, kerjasama erat dengan pemain industri termasuk hotel, pengusaha produk pelancongan, serta kerajaan negeri turut menjadi tumpuan bagi memastikan pengalaman pelancong lebih menyeluruh dan berdaya saing.

Statistik menunjukkan sektor pelancongan negara semakin pulih pasca pandemik dengan pertumbuhan konsisten. Pencapaian 38 juta pelancong antarabangsa tahun lalu bukan sahaja melonjak berbanding tahun 2023, malah meletakkan Malaysia kembali dalam kelompok destinasi utama dunia di rantau Asia.

Dengan sasaran 47 juta pelancong antarabangsa menjelang 2026, ia diunjurkan bakal menjana pendapatan berbilion ringgit kepada ekonomi negara, sekali gus memberi manfaat besar kepada masyarakat setempat melalui peluang pekerjaan, peningkatan sektor perhotelan, pengangkutan, makanan, hiburan dan rantaian industri lain.

Ahmad Zahid menegaskan, kejayaan VM2026 hanya akan tercapai dengan sokongan semua pihak termasuk kementerian, agensi kerajaan, penggiat industri serta rakyat.

“Kejayaan ini hanya akan tercapai dengan sokongan dan semangat semua pihak. Insya-Allah, bersama-sama kita akan menjulang nama Malaysia sebagai destinasi pelancongan dunia,” katanya penuh keyakinan.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika melancarkan VM2026 meletakkan sasaran seramai 35.6 juta pelancong ke negara ini.

Beliau berkata, VM2026 merupakan inisiatif kerajaan untuk mempromosi Malaysia sebagai destinasi pelancongan utama turut menyasar dapat menjana perbelanjaan domestik RM147.1 bilion sepanjang tempoh tersebut.

Dengan persiapan rapi yang sedang dilaksanakan, VM2026 bukan sahaja dijangka menjadi pendorong kepada pemulihan menyeluruh sektor pelancongan, malah akan menjadi manifestasi semangat Malaysia dalam meraikan kepelbagaian budaya, warisan dan keindahan alam semula jadi untuk tatapan dunia. – Edisi 9

Terkini

AMH desak menteri, timbalan menteri BN letak jawatan

SEMUA menteri dan timbalan menteri dari Barisan Nasional (BN) didesak meletakkan jawatan masing-masing susulan tindakan parti itu yang secara...

Lagi Artikel Berkaitan