PELAKSANAAN Penghargaan Sumbangan Asas Rahmah (SARA) terus mendapat sambutan luar biasa apabila mencatat jumlah transaksi tertinggi setakat ini dengan lebih 1.1 juta transaksi berjaya disempurnakan semalam sahaja.
Menurut Kementerian Kewangan, nilai jualan semalam mencecah RM75.3 juta setakat pukul 10.30 malam, meningkat berbanding RM50 juta yang direkodkan pada hari pertama, 31 Ogos lalu.
Secara keseluruhan, seramai 2.9 juta rakyat telah menggunakan kredit SARA dan Penghargaan SARA untuk membeli barangan keperluan asas sepanjang tiga hari pelaksanaannya, dengan jumlah perbelanjaan rakyat mencecah RM192.4 juta di seluruh negara.
Dalam tempoh sama, kadar transaksi berjaya turut melonjak kepada 95 peratus berbanding 79 peratus pada hari pertama.
Kementerian Kewangan menjelaskan, peningkatan mendadak jumlah transaksi menyebabkan sistem MyKasih berdepan lonjakan trafik sehingga 2,000 transaksi diluluskan seminit, berbanding rekod 540 transaksi seminit pada April lalu.
Bagi memastikan kelancaran, kapasiti pemprosesan sistem telah dipertingkatkan daripada 5,000 kepada 15,000 kuiri seminit. Penambahbaikan ini dijangka mempercepatkan proses transaksi sekali gus meningkatkan keselesaan pengguna.
“Kementerian menghargai sambutan menggalakkan daripada para penerima. Maklum balas orang ramai akan terus menjadi rujukan dalam usaha menambah baik sistem agar lebih cekap dan mesra pengguna,” kata kenyataan itu.
Kredit RM100 bagi Penghargaan SARA sah digunakan sehingga 31 Disember ini di lebih 7,300 premis runcit berdaftar di seluruh negara.
Bantuan SARA sebanyak RM100 secara sekali beri atau one-off mula disalurkan mulai 31 Ogos kepada semua warganegara dewasa berusia 18 tahun ke atas, bersempena sambutan Hari Kebangsaan 2025.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, bantuan tunai itu disalurkan terus melalui MyKad dan boleh digunakan untuk membeli barangan keperluan asas berdasarkan 14 kategori produk terpilih.
Ia boleh dibelanjakan di lebih 4,100 premis seluruh negara termasuk pasar raya seperti Mydin, Lotus’s, Econsave, 99 Speedmart serta kedai runcit di semua daerah. — Edisi 9

