AHLI Dewan Undangan Negeri Manjoi, Mohd Hafez Sabri disiasat oleh Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) kerana membuat hantaran palsu berbaur perkauman dalam media sosialnya beberapa hari lalu.
Mohd Hafez yang juga Ketua Pemuda Pas Perak membuat hantaran palsu tersebut berhubung insiden seorang wanita menaiki pentas semasa sambutan Hari Kebangsaan Peringkat Negeri Perak di Ipoh pada 31 Ogos lalu.
Menurut MCMC, hantaran tersebut mendakwa kononnya tindakan tersebut dilakukan seorang perempuan berbangsa Cina adalah tidak benar dan disahkan Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman ia berpotensi menimbulkan ketegangan kaum serta persepsi negatif dalam kalangan masyarakat.
“Sesi rakaman keterangan serta siasatan lanjut telah dijalankan dengan kerjasama Polis Diraja Malaysia (PDRM) di Ibu Pejabat Polis Bukit Aman pada hari Selasa (semalam),” kata kenyataan MCMC hari ini.
Sebelum ini media melaporkan, polis menyiasat satu insiden membabitkan seorang wanita yang menaiki pentas utama ketika acara sambutan Hari Kebangsaan Peringkat Negeri Perak, 31 Ogos lalu.
Kejadian jam 8.20 pagi ketika lagu kebesaran negeri Perak sedang berkumandang.

Ketua Polis Perak, Datuk Noor Hisam Nordin berkata, suspek masuk melalui bahagian tepi pentas dan mendekati Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzudin Shah sebelum ditahan oleh anggota keselamatan yang bertugas.
Suspek adalah seorang wanita tempatan berusia 41 tahun ditahan di lokasi kejadian dan dibawa ke balai polis untuk tindakan lanjut.
Beliau berkata, wanita itu ditahan di lokasi kejadian dan dibawa ke balai polis untuk tindakan lanjut dengan ujian air kencing ke atasnya mendapati dia negatif dadah.
Kes disiasat di bawah Seksyen 325/511 Kanun Keseksaan kerana cubaan menyebabkan cedera parah.
Sementara itu, Mohd Hafez menyalahkan pihak-pihak tertentu yang membuat tangkap layar hantaran awalnya berhubung insiden tersebut tanpa sempat memperbetulkannya.
“Pada waktu kejadian, saya mendapat maklumat awal bahawa individu terbabit adalah seorang perempuan Cina. Sebagai rakyat yang sayangkan Tuanku, saya bertindak pantas membuat hantaran kerana bimbang soal keselamatan (baginda).
“Namun selepas beberapa minit, saya dapati maklumat itu tidak tepat dan saya segera membetulkan hantaran asal. Malangnya, tangkap layar awal itu telah tersebar dan dijadikan naratif seolah-olah saya bermain isu kaum,” katanya menerusi Facebook.
MCMC berkata, siasatan dijalankan di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 [Akta 588], yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM500,000 atau penjara sehingga dua tahun, atau kedua-duanya, jika disabitkan kesalahan.
Suruhanjaya itu menegaskan, penyebaran kandungan palsu berunsur perkauman merupakan perbuatan serius yang boleh mengancam keharmonian serta ketenteraman awam.
Sehubungan itu, orang ramai diingatkan agar sentiasa mengesahkan kesahihan maklumat sebelum membuat atau menyebarkan sebarang kandungan di media sosial. – Edisi 9

