26 C
Kuala Lumpur
Friday, April 26, 2024

Menghargai wartawan dan kemahiran media

Mesti Baca

Editor
Editor
Editor Edisi 9

Wartawan dan media terlalu dekat di hati penulis. Lebih-lebih lagi setelah sekian lama sebagai usahawan, hubungan baik dengan media adalah sesuatu yang wajib untuk dipastikan kerana mereka adalah ejen penting dalam mempromosi dan memperakukan perniagaan kita.

Bagi penulis, peranan media bukanlah semata-mata untuk membantu proses perniagaan tetapi juga sebagai sumber maklumat dan ilmu yang penting kepada masyarakat. 

Cuma bezanya hari ini ialah  peranan wartawan semakin mencabar kerana saingan dengan media sosial yang turut memaparkan pelbagai sumber berita dan maklumat.

Walau bagaimanapun, sumber berita daripada media yang berwibawa lebih diyakini berbanding sumber media sosial yang kadang-kadang diragui sumber dan kesahihannya.

Secara peribadi, penulis sendiri lahir dalam keluarga media. Pada asalnya, kemahiran menulis hanyalah sebagai bakat kami adik-beradik yang kebetulan cemerlang dalam pelajaran di sekolah. 

Majlis Anugerah Media Sempena Musim Durian Perak 2017 yang disampaikan oleh Supanat Sirantawineti, Setiausaha Pihak Berkuasa  Pentadbiran Sempadan Selatan Thailand  (SPBAC) sempena lawatan beliau ke Perak pada tahun 2017.

Atas minat tersebut, beberapa orang ahli keluarga penulis akhirnya menjadikan kewartawanan sebagai kerjaya sepenuh masa ataupun sebagai penulis dan wartawan sambilan.

Malah salah seorang kakak penulis juga telah mengikuti pengajian kewartawanan di ITM, Shah Alam (kini UiTM) dan akhirnya berkahwin juga dengan wartawan. Suami beliau telah mengakhiri kerjayanya sebagai Ketua Pengarang sebuah akhbar terkemuka tempatan beberapa tahun  lalu.

Dua orang abang penulis juga turut bekerja sebagai Setiausaha Akhbar kepada  dua orang Menteri iaitu Dato’ Seri Ahmad Zahid Hamidi dan Allahyarham Tan Sri Megat Junid Megat Ayub.

Penulis sendiri pernah menjadi wartawan sambilan dan penulis rencana akhbar Watan suatu masa dulu sebelum ditutup ketika kegawatan ekonomi pada tahun 1997.

Sekitar tahun 2002, penulis menjadi kolumnis di ruangan Pendidikan, Utusan Malaysia bagi memberi bimbingan dan kerjaya berkaitan latihan kemahiran TVET di Malaysia.

Banyaklah lagi pengalaman lain termasuk bersama-sama RTM untuk memberi nafas baru dan menjayakan segmen bersiri Laman Tani RTM, TV1 sekitar tahun 2009 hingga 2010).

Daripada pengalaman menulis, bekerja di belakang tabir, hinggalah muncul sendiri di dada akhbar atau kaca TV, semuanya telah memberi pengalaman kepada penulis untuk memahami cara bekerja orang media dan selok-belok media sebagai sumber maklumat dan ejen pembangunan masyarakat.

Penulis melalui beberapa pengalaman yang tidak dapat dilupakan sama ada ketika menjadi wartawan sambilan, penulis, kolumnis dan menjadi orang yang diwawancara atau temubual.

Mengejar masa, menerajui berita (lead story) sampailah kepada maki hamun bos adalah antara kenangan manis yang pernah  dilalui oleh penulis. Begitu juga dalam membantu stesen TV menyiarkan siaran langsung apabila penulis pada asalnya hanyalah orang di belakang tabir. 

Pernah terjadi satu peristiwa apabila penulis yang menjadi pembantu di konti di minta menjadi bidan terjun menjaga visual untuk segmen siaran langsung menggantikan seorang pelatih praktikal penerbitan yang hilang entah ke mana pada saat akhir ketika mahu bersiaran. 

Ketika penerbit meminta semua visual yang dikehendaki, tiba-tiba visual tersebut tiada dalam senarai paparan dalam komputer menyebabkan penulis dimarahi begitu teruk. 

Advertisements

Oleh kerana memahami cara bekerja mereka, penulis hanya sekadar tersenyum kerana selepas bersiaran mereka akan bergelak ketawa dengan penulis tanpa rasa marah atau dendam.

Ramai orang tidak sedar, khususnya usahawan bahawa penguasaan kemahiran media adalah sangat penting. Jika dulu, platform media adalah surat khabar atau stesen TV dan radio yang bersifat tradisional, kini ilmu dan kemahiran tersebut semakin penting akibat kemunculan ledakan media sosial.

Apa yang diperlukan ialah ilmu kewartawanan seperti penulisan berita, penerbitan video, editing dan menjadi jurugambar yang baik. Bonus perkara lagi ialah pengurusan media. Penulis bersyukur kerana pengalaman dan kemahiran tersebut membolehkan penulis memanfaatkannya dalam perniagaan dan semua aktiviti yang memerlukan publisiti media.

Kita tidak boleh memperkecilkan peranan media kerana kelebihan yang ada kepada mereka membolehkan pelbagai kemungkinan kesannya. Seorang pemimpin atau sesebuah kerajaan boleh tumbang dengan serangan mereka.

Atas sebab itulah, kita boleh melihat kekuatan seseorang pemimpin juga adalah  berdasarkan kekuatan setiausaha atau pegawai media yang berada di sekeliling mereka. Begitu juga reputasi sesebuah perniagaan boleh hancur dengan hanya sedikit paparan negatif yang tersebar.

Dunia kewartawanan dan media yang menjadi sebahagian darah daging penulis, menjadikan golongan penggiat media terutama wartawan sebagai kelompok yang sentiasa dihargai.

Terus-terang penulis katakan bahawa penulis seringkali mendapatkan pandangan wartawan terhadap isu-isu semasa dan cadangan-cadangan mereka yang menjadi penyelesaian kepada isu-isu yang ada. 

Maklumat dan daya fikir mereka sangat berharga buat penulis yang kadang-kadang juga menjadi idea penulis menyusun gerak kerja. Sesi perbincangan penulis sudah umpama rutin sepanjang masa.

Lebih penting ialah penyiaran berita mereka jauh lebih pantas menyelesaikan sesuatu isu berbanding menyampaikannya melalui pelbagai saluran kerajaan yang penuh red tape.

Sebagai menghargai peranan media, penulis juga seringkali menganjurkan anugerah media yang membolehkan penghargaan diberikan kepada laporan dan penyiaran berita terbaik dalam kalangan wartawan. Penghargaan ini akan meningkatkan motivasi dan kesungguhan mereka.

Dalam satu majlis anugerah yang pernah dianjurkan penulis, seorang wartawan amat berbangga kerana dihargai sumbangannya sebagai wartawan dengan berkata:

“ Sepanjang bertahun aku bekerja sebagai wartawan, kerajaan negeri pun tidak pernah menganjurkan acara sebegini dan aku pun tidak pernah menerima sebarang anugerah”, katanya dengan rasa terharu.

Demikianlah betapa pentingnya dunia kewartawanan dan kemahiran media yang perlu kita kuasai dalam dunia moden berteknologi maklumat.

Atas sebab itulah, penulis pernah berbincang dengan sebuah persatuan wartawan supaya mereka sendiri bergabung untuk mencurahkan ilmu dan kepakaran media kepada masyarakat. Atas kekangan Covid-19 dan pelbagai faktor lain, hasrat ini agak tertangguh tetapi penulis yakin satu hari nanti usaha ini akan menjadi kenyataan.

 Malah impian penulis adalah mahu melihat sebuah premis tersendiri yang menghimpunkan semua media dengan kemudahan terkini yang diperlukan wartawan. Emmmmm.. Kalau penulis jadi Menteri Besar Perak, sudah lama penulis wujudkan dan sumbangkan kepada media.

  • Penulis adalah Pengerusi Eksekutif Institut Agro Usahawan (IGROW) dan Aktivis Ekonomi Sosial. Artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pendirian Edisi 9.

Advertisements

Terkini

Khairul Azhari calon PN bagi PRK Kuala Kubu Baharu – Muhyiddin

PEMANGKU Ketua Bahagian Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Hulu Selangor, Khairul Azhari Saut diumumkan sebagai calon Perikatan Nasional (PN)...

Lagi Artikel Berkaitan