UMNO Sabah memberi jaminan akan menghormati semangat muafakat Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH) yang telah disepakati bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang.
Ketua Perhubungan UMNO Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin berkata, kerjasama itu akan dirunding dengan teliti oleh kepimpinan BN dan PH negeri, termasuk soal pengagihan kerusi serta pendekatan bersama dengan mana-mana parti yang sehaluan.
Beliau berkata, UMNO dan BN Sabah mengakui, realiti politik hari ini menuntut kematangan dan keikhlasan dalam membina kestabilan.
“Demi masa depan negeri, kita memilih untuk berganding bahu bukan sekadar untuk menang pilihan raya, tetapi untuk membina Sabah yang lebih baik dan terurus.
“Kami menghormati proses ini dan akan memastikan setiap keputusan dimuktamadkan dengan semangat muafakat, seperti yang telah ditetapkan oleh kepimpinan tertinggi di peringkat kebangsaan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Mesyuarat kepimpinan tertinggi antara Pengerusi PH, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Pengerusi BN, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi semalam telah mencapai kata sepakat untuk bekerjasama bagi menghadapi PRN Sabah.
Perkara itu dinyatakan Ketua Sekretariat Kerajaan Perpaduan, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki dalam satu kenyataan bersama dengan Setiausaha Agung PH, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail hari ini.
Kata mereka, bentuk kerjasama termasuk soal pengagihan kerusi dan perundingan dengan mana-mana parti lain akan diperincikan bersama di antara kepimpinan kedua-dua gabungan parti tersebut di peringkat negeri.
Sementara itu Bung Moktar berkata, BN Sabah akan menggerakkan seluruh jentera, dari peringkat negeri hingga akar umbi, dengan sepenuh komitmen 100 peratus fokus, disiplin, keikhlasan untuk menghadapi PRN17 sebagai satu pasukan yang bersatu, matang dan berwibawa.
“Kita bukan sahaja mahu menang, tetapi kita mahu menang dengan maruah dan mandat rakyat yang tulen.
“UMNO Sabah percaya bahawa kestabilan hanya dapat dicapai apabila kuasa digunakan dengan amanah, dan politik dijalankan dengan adab serta matlamat yang jelas bukan untuk diri, tetapi untuk negeri.
“Kita telah belajar daripada masa lalu, dan hari ini kita bersedia untuk membina masa depan bersama.
“Demi Sabah, demi rakyat, kita bersatu. Kita matang, kita melangkah ke hadapan,” katanya. – Edisi 9

