Friday, June 5, 2026

Maritim Malaysia, Australia adakan operasi bersama

Redback-20 merupakan operasi tahunan sejak 2012 bagi meningkatkan kesiapsiagaan dan keberkesanan penguatkuasaan undang-undang maritim kedua-dua negara.

Mesti Baca

USAHA membanteras jenayah rentas sempadan maritim terus diperkasa apabila Operasi Redback Ke-20 (Op Reback-20) kerjasama strategik antara Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) dan Australian Border Force (ABF) telah dilaksanakan dari 5 hingga 9 Mei 2025 di perairan Melaka dan Negeri Sembilan.

Pemangku Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) Maritim Malaysia, Laksamana Muda Maritim Mohd Zawawi Abdullah berkata, operasi tahunan yang bermula sejak 2012 itu menjadi platform penting dalam meningkatkan kesiapsiagaan dan keberkesanan penguatkuasaan undang-undang maritim kedua-dua negara.

“Operasi ini bukan sekadar kerjasama dua hala, malah bukti komitmen berterusan kita dalam membanteras jenayah seperti penyeludupan, kegiatan Illegal, Unreported and Unregulated Fishing (IUU) dan penyeludupan migran yang mengancam keselamatan perairan negara.

“Dan pada edisi kali ini, Maritim Malaysia bersama ABF menjalankan penguatkuasaan seluas 2,860 kilometer persegi bermula dari Kuala Sepang, Selangor hingga ke Kuala Kesang, Muar melibatkan empat buat aset laut milik Maritim Malaysia iaitu KM Danga, bot Benteng 04, bot Perkasa 37 dan bot Penggalang 38,” katanya lagi.

Penyerahan bantuan jaket keselamatan kepada penduduk sempena Op Redback-20.

Beliau berkata demikian ketika hadir merasmikan Majlis penutup Op Redback-20 di Port Dickson, Negeri Sembilan hari ini.

Hadir sama, kaunselor ABF di Suruhanjaya Tinggi Australia di Malaysia, Superintendan Brooke Leung dan  Pemangku Pengarah Maritim Negeri Melaka dan Negeri Sembilan, Komander Maritim Norrimi Hassan.

Mohd Zawawi berkata, sepanjang Op Redback-20 sebanyak 122 pemeriksaan telah dilakukan melibatkan kapal dagang, vesel nelayan tempatan (VNT), bot penumpang dan tug boat.

Sementara beliau memaklumkan, berdasarkan kepada rekod Maritim Malaysia dari Januari hingga April lalu, sebanyak 17 orang pendatang asing tanpa izin (PATI) yang terdiri lapan warga Indonesia dan sembilan warga Myanmar telah ditahan kerana cuba masuk/keluar melalui laluan ‘tikus’ di seluruh negara.

“Bagi tempoh yang sama, Maritim Malaysia turut berjaya merekodkan 16 tangkapan di seluruh negara bagi kes penyeludupan barangan kawalan seperti petrol dan diesel. 

“Selain itu sejumlah 17 tangkapan kes membabitkan barangan kontraban seperti rokok, minuman keras dan tong gas LPG turut direkodkan. Nilai keseluruhan kesemua rampasan tersebut melebihi RM9.2 juta,” katanya.

Selain penguatkuasaan, turut dijalankan Seminar Op Redback-20 yang menampilkan sesi bersama pakar terdiri Pengarah Australian National Centre for Ocean Resources & Security (ANCORS), Professor Stuart Kaye serta Pensyarah Kanan ANCORS, Dr. Sarah Lothian.

Lebih menarik, satu program mesra rakyat iaitu Community Engagement turut diadakan di dua lokasi iaitu di Kampung Tanjung Dahan, Kuala Sungai Baru, Melaka (6 Mei) dan di Jeti Nelayan Telok Pelandok, Port Dickson yang diadakan semalam. 

Bersempena program tersebut, Maritim Malaysia turut mengedarkan 100 jaket keselamatan kepada komuniti nelayan yang hadir sebagai kempen kesedaran keselamatan di laut. – Edisi 9

Terkini

Hektar HEIT cadang ambil alih Sekolah Antarabangsa KYS KL East

HEKTAR REIT bercadang mengambil alih Sekolah Antarabangsa KYS KL East (KYSKLEIS) pada nilai RM125 juta bagi memperkukuhkan aliran pendapatan...

Lagi Artikel Berkaitan